Perak Hari Ini

Exco Syor Pemaju Rumah Pangsa Laksanakan Program Caj Penyelenggaraan Percuma

IPOH: Pemaju pangsapuri kos rendah dan sederhana di Perak disyorkan untuk melaksanakan program caj penyelenggaraan secara percuma pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Paul Yong Choo Kiong berkata, menerusi inisiatif itu, pemilik rumah pangsapuri tidak perlu lagi membayar caj tersebut dan kos penyelenggaraan akan disalurkan daripada Tabung Simpanan Wang Amanah Penyelenggaraan Bangunan.

Jelasnya, tabung tersebut akan diselenggarakan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang mana para pemaju dikehendaki menyalurkan sumbangan dana kepada tabung tersebut, pada peringkat awal pembinaan satu-satu unit pangsapuri.

“LPHP akan menyalurkan hasil wang amanah berkenaan kepada pihak Perbadanan Pengurusan (MC) pada setiap bulan, untuk tujuan penyelenggaraan, pembersihan dan pembaikan kawasan.

“Namun, perkara itu masih baharu dan di peringkat uji cuba oleh LPHP yang mana ia akan dimulakan kepada projek-projek yang diselia LPHP.

“Terdapat beberapa perkara perlu diselaraskan terutamanya bagi penyelarasan program ini terhadap Akta Bangunan dan Harta Bersama,” katanya.

Tambahnya jika inisiatif tersebut mendapat respons yang baik, ia akan diperluaskan ke peringkat projek perumahan swasta dan agensi kerajaan negeri yang lain.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Leong Cheok Keng (PH- Malim Nawar) yang bertanyakan tentang hala tuju dasar baharu perumahan di Perak, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, dekat sini, pada Jumaat.

Selain itu Paul yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh berkata pelaksanaan program caj penyelenggaraan percuma itu bertujuan membantu meringankan beban pemilik rumah yang berada dalam kategori 40 peratus menengah (M40) dan 40 peratus terkebawah (B40).

Jelasnya walaupun ada caj penyelenggaraan rumah pangsapuri serendah RM20 sebulan namun masih terdapat penghuni yang gagal dan tidak mampu membayar.

Menurutnya lagi, inisiatif sama turut bertujuan bagi mengurangkan masalah penyelenggaraan rumah pangsapuri yang terabai.

“Walaupun ada MC yang ditubuhkan namun ada rumah pangsapuri menghadapi pelbagai masalah.

“Kita tidak mahu perkara ini berterusan yang mana ia bakal menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes dan kawasan aktiviti jenayah penagihan dadah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");