Berita Hari Ini

Forum Statut Rom, Beberapa Individu Akan Dipanggil Polis

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil beberapa individu yang didakwa mengkritik Raja-Raja Melayu ketika forum Statut Rom berlangsung di Universiti Malaya, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah menerima laporan polis berhubung isu itu dan siasatan sedang dijalankan.

“Sama ada kita akan memanggil individu terbabit atau tak, ia bergantung kepada laporan siasatan, sekiranya perlu kita akan panggil.

“Kita akan lihat apa kesalahan dan keperluan untuk memanggil pihak terbabit. Siasatan juga akan dibuka sama ada mengikut Akta Hasutan atau undang-undang berkaitan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Semalam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan polis terhadap Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Ali yang didakwa mengkritik Raja-Raja Melayu pada forum itu.

Laporan polis ini juga mengaitkan Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Asheeq Ali Sethi Alivi serta beberapa individu lain.

Difahamkan, forum itu diadakan susulan pendedahan rumusan eksekutif yang dibentangkan ahli akademik yang dikatakan digunakan bagi meyakinkan Majlis Raja-Raja Melayu menolak Statut Rom.

Terdahulu, Mohamad Fuzi menyerahkan replika kunci IPD Brickfields sebagai gimik perasmian IPD baharu itu yang dibina di kawasan seluas 2.5 hektar dan siap pada tahun lalu dengan kos sebanyak RM40.6 juta.

Seramai 1,530 anggota dan pegawai di daerah ini daripada tujuh balai polis di bawah IPD Brickfields yang memberikan perkhidmatan penguatkuasaan undang-undang kepada lebih 1.1 juta penduduk.-BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");