Sukan Hari Ini

Gol Sendiri Shaw Buat Man Utd Gigit Jari

MANCHESTER: Manchester United berdepan satu lagi tugasan menggunung dalam kempen Liga Juara-Juara selepas jaringan sendiri Luke Shaw memberikan Barcelona kemenangan 1-0 pada aksi suku akhir pertama di Old Trafford, awal pagi tadi.

Shaw tertampan tandukan Luis Suarez ke gawang sendiri selepas 12 minit perlawanan berlangsung dan sekali pun tidak beraksi di tahap sebenar, wakil Sepanyol itu dapat mengawal situasi dengan baik sekali gus membawa kelebihan menjelang aksi timbal balik.

Pada aksi peringkat 16 terbaik sebelum ini, United menampilkan salah satu kebangkitan paling menakjubkan di Liga Juara-Juara apabila bangkit daripada kekalahan 2-0 di gelanggang sendiri pada aksi pertama untuk mara menyingkirkan Paris Saint-Germain.

Begitupun kali ini, United perlu mengulangi aksi sama di Nou Camp dalam tempoh enam hari, gelanggang di mana pengurus Ole Gunnar Solskjaer melengkapkan satu lagi kebangkitan menakjubkan untuk menjulang trofi berkenaan pada 199 sebagai pemain.

Sekali pun terus kempunan untuk menamatkan kemarau gol dalam saingan Liga Juara-Juara sejak September 2015, tindakan Suarez memberikan kelebihan buat Barca.

Selepas gerakan Lionel Messi dihentikan pertahanan United, hantarannya begitupun berjaya ditanduk Suarez yang berada di kawasan penalti sebelum ia mengenai Shaw dan melepasi penjaga gol, David de Gea.

Penjaga garisan sedikit merencatkan keraian Suarez tetapi selepas diteliti oleh Video Bantuan Pengadil (VAR), bekas penyerang Liverpool itu akhirnya tersenyum lebar.

Barcelona jelas menguasai perlawanan di awal permainan tetapi United terlebih dulu melakukan cubaan berbahaya menerusi Marcus Rashford tetapi ia gagal menewaskan Marc-Andre ter Stegen.

United beraksi dengan lebih baik pada awal babak kedua tetapi kekurangan kreativiti di bahagian tengah menyaksikan tiada umpanan berbahaya dapat diberikan kepada Rashford dan seorang lagi penyerang, Romelu Lukaku yang tampak kurang efektif.

Bos Barca, Ernesto Valverde bertindak memasukkan pemain tengah, Sergi Roberto dan Arturo Vidal bagi mengawal situasi dan ketika United rancak memburu jaringan penyamaan, pelawat turut berpeluang tetapi cubaan Jordi Alba berjaya dihalang De Gea.

Anthony Martial juga berpeluang untuk memberikan United kelebihan menjelang aksi di Catalonia tetapi gerakannya berjaya dihalang  Gerard Pique sekali gus menyaksikan Red Devils mengharungi kekalahan keempat daripada enam perlawanan Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri. – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");