Panasnya Hari Ini

Gubal Akta Baru Kawal Kekayaan Politik, Taikun Beritahu Putrajaya

BANGI: Taikun, Lee Kim Yew menggesa Putrajaya menggubal undang-undang untuk mengawal pembiayaan politik dengan mewajibkan semua parti politik diaudit oleh Jabatan Audit Negara setiap 2 tahun.

Katanya, kerajaan memerlukan akta baru untuk memerangi rasuah, jika ia serius dalam membina negara lebih baik selepas pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

“Jika aset dan kekayaan anda melebihi RM300 juta, apa-apa yang melebihinya, anda perlu serahkan kepada negara.

“Ini kerana, jika anda lihat Umno dan MCA, lihat pada kekayaan mereka,” kata ahli kehormat Persatuan Patriot Kebangsaan itu selepas Forum Jalur Gemilang dan Aspirasi Rakyat di sini, malam ini.

Lee turut menggesa kerajaan menghalang ahli politik menggunakan jawatan mereka untuk mengumpul kekayaan.

“Apabila mereka menggunakan jawatan awam mereka, parti mereka mendapat semua jenis lesen untuk mengumpul kekayaan.

“Itu sebabnya mereka kata, kerajaan hanya boleh mentadbir negara, bukannya menjalankan perniagaan. Jika anda mahu menjadi sangat kaya seperti saya, jangan jadi ahli politik, jadilah ahli perniagaan.”

Lee berkata, parti pemerintah mempunyai jalan mudah untuk mendapat kekayaan.

“Kadangkala, kita ada badan bukan kerajaan cuba membuat kebajikan, tetapi ia sangat sukar untuk mereka mengumpul beberapa juta.

“Tetapi, parti politik ini, mereka sangat teruk. Struktur itu ditetapkan supaya mereka boleh mengumpul beberapa bilion.”

Beliau memberi contoh MCA ketika masih menjadi ahli parti itu.

“Mereka ada berapa bilion? Aset dimiliki parti itu sangat besar.”

Katanya, ahli politik hanya memerlukan jumlah yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk berkempen.

“Kita mempunyai 222 kerusi Parlimen, jika SPR menetapkan mereka hanya boleh membelanjakan RM200,000, itulah wang yang anda perlukan.”

Beliau mengimbau amalan tegas oleh mendiang Tan Siew Sin, pengasas MCA yang merupakan menteri perdagangan dan industri pertama serta menteri kewangan selama 15 tahun.

“Saya berpegang kepada prinsip itu, apabila anda menjadi penjawat awam, dalam parti anda, anda hanya buat kerja parti. Mereka yang mempunyai jawatan dalam kerajaan, anda tidak patut menggunakan kedudukan anda untuk kerja politik.”

Katanya, penjawat awam yang dibayar gaji oleh semua pembayar cukai tidak patut berat sebelah.

“Jika anda memperbetulkan 2 (amalan salah ini), anda boleh membina semula negara.”

Lee berkata, kerajaan Pakatan Harapan perlu berpegang kepada 2 prinsip untuk menunjukkan mereka serius dalam memerangi rasuah.

Katanya, ekonomi dan pendidikan adalah penting, tetapi rakyat tidak akan menyokong PH hanya untuk ekonomi kerana mereka mahu negara bebas daripada rasuah.

“Rasuah perlu dihapuskan dengan cepat. Jika tidak, apabila ekonomi pulih, akan wujud 10 lagi Najib (Razak) untuk mengambil wang daripada rakyat. Apa gunanya memulihkan ekonomi?” soalnya.

Najib sedang berdepan 42 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dilaporkan berkata, Putrajaya mungkin memperkenalkan undang-undang baru mengenai pembiayaan politik lapor FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");