Berita Hari Ini

Harga Siling RON95 Belum Dimuktamadkan – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan pemansuhan had paras harga runcit produk petrol RON95 masih belum dimuktamadkan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata seperti kenyataan asal beliau sebelum ini, Kabinet masih belum membuat sebarang keputusan akhir berkenaan penghapusan had paras harga bagi petrol RON95.

Beliau berkata, harga seliter bagi petrol RON95 buat masa sekarang kekal pada RM2.08 sebagai usaha kerajaan melindungi rakyat daripada terdedah kepada harga petrol yang tinggi dan tidak menentu.

“Saya ingin tegaskan kepada rakyat bahawa penstabilan harga runcit minyak dan pelaksanaan subsidi bersasar adalah salah satu komitmen manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, bukannya RM1.50 seliter bagi petrol RON95 seperti yang berlegar-legar di ruang media sosial.

“Penstabilan harga runcit minyak pun dilaksanakan dan kerajaan komited melaksanakan subsidi bersasar supaya hanya golongan yang layak dan memerlukan sahaja menerima subsidi petrol ini,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Semalam, media melaporkan harga siling untuk petrol RON95 boleh dihapuskan apabila subsidi kerajaan, yang dijangka terhad kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), berkuat kuasa.

Ketika taklimat kepada media pada Isnin lalu, Saifuddin berkata, kerajaan akan memutuskan sama ada harga siling itu dikekalkan atau tidak.

Februari lalu, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 dihadkan pada kadar RM2.08 untuk semua pengguna tanpa mengira kenaikan harga minyak global.

Saifuddin berkata, kerajaan sentiasa mendengar dan terbuka untuk mendengar cadangan daripada rakyat berkenaan pelaksanaan subsidi bersasar ini agar niat dan objektif di sebalik dasar ini tercapai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");