Sukan Hari Ini

Harimau Malaya Dijangka Tiada Masalah Ketepi Timor Leste

KUALA LUMPUR: Jika diukur pada kedudukan dalam ranking dunia, skuad Harimau Malaya dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi pasukan Timor Leste pada aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2022 pada 6 dan 11 Jun ini.

Namun itu hanya status atas kertas dan pengendali negara, Tan Cheng Hoe mengingatkan pemain yang bakal dipilih nanti supaya tidak mengulangi kekecewaan sebelum ini selepas gagal menempatkan diri di kelompok 34 terbaik di Asia.

Cheng Hoe sedar status pasukan terbaik bukan jaminan kerana lawan mereka pasti memiliki motivasi lebih tinggi untuk cipta kejutan.

“Pasukan ranking lebih bawah hadir tanpa ada sebarang tekanan. Mereka datang dan menikmati perlawanan serta cuba beri yang terbaik.

“Jadi pemain kita kena turun ke padang dengan penuh fokus namun tidak boleh terlalu yakin. Pasukan lebih bawah boleh cipta kejutan… (kalau tewas) kita sudah terlambat untuk rasa menyesal.

“Yang penting sekarang pemain perlu kekal positif. Kami kena bekerja secara berpasukan dengan penuh semangat dan dalam masa sama, kita kena jaringkan gol untuk memenangi perlawanan,” katanya pada majlis undian playoff kelayakan Piala Dunia di Rumah AFC, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Agak menarik untuk kembali menyaksikan pertembungan Harimau Malaya dengan Timor Leste ketika kedua-dua pasukan pernah bertemu sesama sendiri sebelum ini dan mungkin saling mengetahui kelemahan serta kekuatan masing-masing.

Kali terakhir pertemuan kedua-dua pasukan adalah pda 2016 yang berlangsung di Johor, menyaksikan Harimau Malaya menang 3-0 setiap perlawanan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe tidak mahu terus diulit mimpi kerana sedar Timor Leste sekarang jelas berbeza berbanding apa yang pernah mereka ada sebelum ini.

“Yang penting kita harus ada persiapan yang terbaik kerana ini adalah perlawanan yang penting untuk kita ke kelayakan Piala Dunia 2022. Saya masih kekal positif dengan undian ini dan berharap dapat pamerkan sesuatu yang positif.

“Kemungkinan mereka ada seorang atau dua pemain naturalisasi yang boleh jadi pembakar semangat pasukan mereka. Untuk kita pula, saya harap pasukan tidak terganggu dengan sambutan Aidilfitri,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");