Perak Hari Ini
Like

Inisiatif Kampung Angkat Orang Asli Giat Dijalankan

April 19, 2019
312 Views
0 Comments
2 minutes read
Inisiatif Kampung Angkat Orang Asli Giat Dijalankan

IPOH: Sebanyak lima agensi kerajaan negeri telah melibatkan diri dalam inisiatif menjadikan kampung-kampung Orang Asli di Perak sebagai kampung angkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Lembaga Air Perak (LAP) telah menjadikan Kampung Sungai Tonggang di Tanjung Rambutan dan Kampung Orang Asli Lata Kinjang.

Katanya, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) pula mengambul Kampung Sungai Perah di Parit dan Kampung Batu 14 dekat Chenderiang sebagai kampung angkat komuniti Orang Asli.

Selain itu, Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) di Kampung Sungai Cincin; Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Kampung Sungai Lerek dan Kampung Orang Asli Pos Musoh dekat Chenderiang masing-masing juga dijadikan kampung angkat.

Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) pula melaksanakan inisiatif yang sama di Kampung Orang Asli Gamus dekat Sungkai dan Kampung Orang Asli Tidong dekat Muallim.

Tambah Ahmad Faizal program tersebut turut disertai institusi-institusi pendidikan negara dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang antaranya, terdiri daripada Malaysia Relief Agency (MRA); Yayasan Al-Khalifah; Briged Bakti Malaysia (BBM); Universiti Teknologi Petronas (UTP); Universiti Kuala Lumpur (Royal College of Medicine Perak); Universiti Sains Malaysia (USM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Program ini juga telah berjaya menarik penyertaan daripada syarikat-syarikat swasta.

“Sebagai contoh, program Kampung Angkat Sungai Cincin oleh MB Inc baru-baru ini telah menarik penyertaan empat syarikat swasta yang komited untuk membantu usaha membela nasib komuniti Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, dekat sini, pada Jumaat.

Menjawab soalan lisan Salbiah Mohamed (BN-Temenggor), Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata, beberapa projek pembangunan di penempatan-penempatan masyarakat Orang Asli di Temenggor akan dilaksanakan.

Ujarnya antara kampung yang terlibat ialah Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Kampung Orang Asli Chenawin dan Kampung Orang Asli Sungai Rengat dekat Gerik.

Dalam menjawab soalan tambahan Salbiah, Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan berusaha bagi menarik minat lebih ramai agensi kerajaan dan swasta dalam memperluaskan lagi inisiatif kampung angkat Orang Asli di Temenggor.

Komen & Pendapat

Comments are closed.