Perak Hari Ini

Ipoh Food Festival Jemput Para Pengusaha, Vendor Makanan Untuk Sertai Acara

IPOH: Para vendor atau pengusaha gerai makanan di seluruh negeri dijemput untuk menyerati Festival Makanan Ipoh ataupun Ipoh Food Festival (IFF) yang dijadualkan berlangsung dalam bulan ini sehingga Mei.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata acara tersebut merupakan usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan produk makanan setempat selain menggalakkan penggunaan hasil tanaman di Perak.

Katanya pendaftaran penyertaan oleh pengusaha produk makanan negeri yang berminat akan dibuka sehingga 15 April ini.

“Pihak penganjur akan menghubungi gerai yang berjaya melepasi proses pemilihan.

“Selain itu, anda juga boleh mengikuti laman Facebook IFF bagi mengetahui perkembangan terkini tentang IFF.

“Facebook IFF juga akan mengadakan pertandingan dari semasa ke semasa dan para pemenang akan berpeluang untuk makan secara percuma pada acara Taste of Perak pada 27 April nanti,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Tambahnya, sepanjang IFF berlangsung, sebanyak tiga acara utama akan dijalankan iaitu Pasar Tani dan Taste of Perak ataupun Bazar Makanan Tempatan pada 27 April dan Festival Kopi pada 4 Mei 2019.

Jelasnya penganjuran dua acara pada 27 April itu bertujuan bagi mengetengahkan lagi hasil tanaman serta produk makanan yang berasal dari Perak.

Katanya pada acara tersebut juga turut diadakan beberapa aktiviti sampingan seperti bengkel masakan, bengkel kraf tangan, serta demo masakan.

Bagi Festival Kopi, ujar Howard ia bertujuan mendedahkan lagi kepada umum terhadap jenis-jenis kopi tradisional serta budaya kopi yang terdapat dalam pasaran tempatan.

“Seluruh program ini akan dijalankan berasaskan konsep mesra alam di mana para pengunjung digalakkan untuk membawa bekas makanan sendiri bagi mengurangkan penggunaan plastik serta mengelakkan kaedah pembungkusan yang tidak berunsurkan kelestarian,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, selain dapat menarik lebih ramai pelancong, penganjuran IFF juga dilihat mampu memberi peluang kepada usahawan tempatan khususnya kepada golongan belia untuk menceburi bidang tanaman makanan serta kulinari.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");