Sukan Hari Ini

Isu Venue: AFC Beri Tempoh Hingga Esok

KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) memberi masa sehingga esok kepada Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengemukakan permohonan rasmi berhubung pertukaran venue dan pindaan tarikh aksi play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, Jun depan.

Menurut Stadium Astro, FAM sebelum ini memberikan perkhabaran gembira menerusi pengesahan aksi play-off kedua akan diadakan di Kuala Lumpur, 11 Jun depan.

Selain itu, badan induk itu juga sedang berusaha untuk meminda tarikh perlawanan pertama dari 6 Jun ke 7 Jun depan.

Walaupun kedua-dua perkara itu telah dipersetujui FFTL menerusi maklum balas melalui e-mel, AFC, bagaimanapun, masih belum dapat memberikan lampu hijau.

“Jika kedua-dua pasukan bersetuju untuk bermain pada tarikh yang lain, ia biasanya tidak akan menjadi masalah.

“Namun, kami perlu melihat tahap perubahan tarikh itu dan seberapa lama jarak di antara kedua-dua perlawanan kerana ia antara perkara-perkara yang penting,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John.

Isu venue play-off kedua itu timbul selepas Stadium Perbandaran Dili, Timor Leste tidak memenuhi kriteria untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa.

Pindaan tarikh aksi pertama itu pula dicadangkan FAM kerana mahu memberikan sedikit ruang buat pemain negara meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

“Perbincangan di antara Bahagian Pasukan Kebangsaan dengan Bahagian Kejohanan berjalan dengan lancar dan tiada sebarang isu yang bertentangan dalam perbincangan dengan Timor Leste.

“Komunikasi sedikit lambat kerana perbincangan itu memerlukan keputusan daripada Timor Leste melalui pelbagai peringkat,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");