Sukan Hari Ini

Jerantut FA Nyaris Kejutkan Perak

MARAN: Perak terpaksa berhempas pulas sebelum mara ke suku akhir Piala FA selepas menundukkan Jerantut FA 2-1 pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, sebentar tadi.

Jerantut FA tampil garang pada babak pertama apabila kerap mengasak kubu lawan biarpun dibarisi pemain kurang berpengalaman.

Pasukan tuan rumah terlebih dulu menguji gawang Perak menerusi sepakan percuma Muhamad Firdaus Abdul Razak pada minit kedua sebelum ditangkap kemas Muhammad Hafizul Nizam Jothy.

Peluang terbaik skuad bimbingan Mehmet Durakovic hadir pada minit ke-19 menerusi Muhammad Shahrel Fikri namun sepakannya terkena tiang.

Skuad The Bos Gaurus yang menurunkan tiga tonggak import nyata gagal membolosi gawang Jerantut FA yang dikawal Muhamad Rozlan Arbae.

Sebaliknya Jerantut FA yang beraksi bagi saingan liga M4 itu mencipta kejutan menerusi gol hasil sepakan percuma Muhamad Firdaus pada minit kedua waktu tambahan babak pertama.

Bersambung babak kedua, Jerantut FA yang dibarisi dua tonggak import, Idisi Precious dan Brete Mamadou tampak gagal mengawal rentak permainan dan menyerap asakan pasukan pelawat yang dibarisi pemain berpengalaman.

Juara Piala Malaysia 2018 itu akhirnya memecah kebuntuan menerusi penyerang import, Wander Luiz yang tidak dikawal sebelum menanduk gol penyamaan pada minit ke-75 selepas menerima hantaran lintang pemain gantian, Ahmad Khairil Anuar.

Wander Luiz sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pasukan separuh profesional itu apabila meledak gol kedua peribadi pada minit ke-84 di kawasan kotak penalti lawan.

Menyedari ketinggalan, pasukan tuan rumah kembali memperkemaskan permainan dan cuba mencari gol penyamaan menerusi gerakan Precious dan Mamadou namun digagalkan benteng Perak yang dikemudi Shahrul Saad.

Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan yang menyaksikan skuad Perak berjaya melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA. – BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");