Panasnya Hari Ini

Johari Akui Kes Najib Beri Kelebihan Kepada PH

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi kelebihan kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul juga percaya sokongan pengundi terhadap kerajaan boleh meningkat disebabkan isu terbabit.

Namun, katanya, PKR tidak akan mengambil kesempatan dengan menggunakan kes bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan bekas Presiden UMNO itu sebagai ‘kelebihan’ di Rantau.

Beliau berkata, PKR tidak berminat mengulangi ‘skrip’ sama digunakan BN sebelum ini yang menggunakan kes mahkamah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai modal politik.

“Kita percaya rakyat sudah muak dengan taktik terbabit. Saya rapat dengan pimpinan tinggi parti termasuk Anwar dan saya pasti kita tidak akan ambil isu perundangan (kes Najib) sebagai modal politik seperti yang pernah beliau (Anwar) lalui dulu kerana ia tidak adil,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Beliau berkata, perbicaraan kes Najib pada waktu sama dengan PRK Rantau bukan sesuatu yang dirancang tetapi secara kebetulan, malah tarikh perbicaraan sudah ditetapkan sebelum ini.

“Maka saya tidak anggap ini (perbicaraan kes Najib) modal politik bagi PKR dan PH untuk raih undi walaupun ia beri kesan positif buat kita. Kita lebih selesa mengambil pendekatan, kalau betul Najib bersalah, beliau harus tanggung hukuman diputuskan mahkamah. Jika tidak, beliau akan dibebaskan, ” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang mengakui kes mahkamah membabitkan Najib boleh menjejaskan kempen BN di PRK Rantau.

Najib menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sementara itu, Johari yang juga Ketua Whip PH di Dewan Rakyat, menyifatkan calon BN di PRK Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai pemimpin yang baik, tetapi berada di tempat, masa dan bersama pihak yang salah.

Katanya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu terpaksa menanggung beban ditinggalkan kepemimpinan terdahulu partinya yang sedikit-sebanyak akan memberi kesan kepada imej Timbalan Presiden UMNO itu di Rantau.

“Malangnya, Mohamad terpaksa galas semua masalah ditinggalkan pimpinan UMNO terdahulu, terpaksa jadi ‘penjaga gol’ tepis semua tendangan. Saya simpati kepadanya, sama ada beliau menang atau kalah, itu cerita lain, tetapi beban terpaksa dipikul Mohamad bukan mudah dalam keadaan sekarang, ” katanya.

Johari juga percaya pertempuran di Rantau bukan mengenai Mohamad atau calon PH, Dr S Streram, sebaliknya ia membabitkan konteks lebih besar, iaitu sebagai medan penceritaan mengenai apa yang berlaku kepada BN kini dan usaha kerajaan ‘membersihkan’ sampah ditinggalkan mereka.

“Jika rakyat masih tak percaya dengan apa yang berlaku sekarang, contohnya kes Tabung Haji dan perbicaraan Najib adalah realiti, mungkin mereka akan pilih Mohamad. Jika rakyat mampu mengadili dengan betul, mereka akan beri peluang buat PH di Rantau, ” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");