Berita Hari Ini
Like

Kabinet, PH Tak Bincang Isu Singkir MB Perak

April 20, 2019
201 Views
0 Comments
2 minutes read
Kabinet, PH Tak Bincang Isu Singkir MB Perak

KUALA LUMPUR: Kabinet atau Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak pernah membincangkan isu menyingkirkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa ia hanya khabar angin dan cubaan pembangkang untuk menimbulkan kacau bilau di Perak.

Beliau merujuk satu rakaman audio selama 4 minit 22 saat yang tersebar di media sosial berkaitan komplot menjatuhkan Faizal yang membabitkan seorang individu didakwa ialah adun Perak.

“Saya tidak nampak ianya satu perkara yang mungkin berlaku, walaupun ada keadaan di mana kita tidak mempunyai majoriti mantap (dalam Dewan Undangan Negeri), tetapi setakat ini ianya mencukupi untuk kita kekal sebagai kerajaan,” katanya selepas Majlis Sepetang Bersama Pemimpin Amanah di sini, hari ini.

“Kita jangan dengar berita yang tersebar dalam media sosial, ahli parti perlu merujuk kepada pimpinan parti masing-masing dalam PH. Kita tahu pihak lawan kita sebar pelbagai maklumat tidak tepat dengan tujuan menimbulkan keresahan ahli, jadi jangan percaya khabar angin.”

Sementara itu, Exco Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, isu penyingkirkan Faizal mungkin sengaja dicetuskan pihak lawan menjelang sidang DUN.

“Isu itu selalu dibangkitkan setiap kali persidangan DUN. Sebenarnya, tiada isu timbul, semua exco tidak ada masalah dengan MB, kami semua di belakang beliau.”

Rakaman audio yang tersebar di media sosial kelmarin, dikatakan suara seorang adun dan ada yang mengaitkannya dengan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Abdul Aziz Bari, tetapi beliau menafikan dakwaan itu.

Semalam, Faizal dilaporkan berkata, rakaman audio mengenai komplot menjatuhkannya belum dibuktikan sahih dan semua perkara mungkin berlaku berdasarkan kecanggihan teknologi ketika ini.

Katanya, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa, walaupun banyak pihak cuba menjatuhkannya sejak hari pertama dilantik menerajui Perak.-FMT

Komen & Pendapat

Comments are closed.