Berita Hari Ini

Kenapa Dulu TMJ Tak Gesa Tukar Najib, Soal Syed Saddiq

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini mempersoalkan mengapa Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak menggesa Najib Razak digantikan sebagai perdana menteri ketika Malaysia dilabel sebagai negara ‘kleptokrasi’.

Sebaliknya, Syed Saddiq berkata Tunku Ismail kini meminta Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu digantikan.

“Persoalan saya kepada TMJ, kenapa dahulu bila satu dunia kenali Malaysia sebagai kleptokrasi, TMJ tidak suruh “tukar Najib” tetapi sekarang suruh perdana menteri yang diberikan mandat oleh rakyat untuk “ditukar”?” katanya menerusi laman Instagram.

Menteri Belia dan Sukan itu turut membandingkan tindakan Tunku Ismail meletakkan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan perdana menteri yang mahu memulihkan negara.

“Kalau nak jaga FAM pun sukar sampai terpaksa letak jawatan tidak sampai setahun, bayangkan tanggungjawab seorang perdana menteri yang ikhlas mahu memulihkan negara tercinta,” katanya.

Tunku Ismail dipilih sebagai presiden FAM pada 25 Mac 2017 dan berikrar untuk memulihkan skuad bola sepak kebangsaan.

Bagaimanapun, pada 16 Mac 2018, pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden FAM selepas gagal memperbaiki prestasi Harimau Malaya.

Tunku Ismail dilihat menyokong kerajaan BN sebelum pilihan raya umum 2018 dan menggelarkan Mahathir sebagai pemimpin “lidah bercabang” tanpa menamakannya.

“Saya bukan ingin menyokong mana-mana parti politik tetapi untuk mengubah nasib negara dan memperbaiki sistem, bukan untuk menjatuhkan kerajaan. Kita perlu mengubahnya daripada dalam.

“Jadi, saya dan negara-negara jiran kami berpandangan, jika kapal ini telah berjalan dengan baik selama berpuluh tahun dan mempunyai masalah oleh kerana nakhodanya yang bermasalah, tidak perlu tukar kepada enjin yang baharu,” kata Tunku Ismail.

Rakyat tolak gesaan TMJ

Bagaimanapun Syed Saddiq hari berkata, seruan Tunku Ismail itu tidak disambut terutama oleh rakyat Johor.

 “Walaupun TMJ gesa orang Johor untuk kekalkan Najib pada PRU14, rakyat tetap bersama Tun Dr Mahathir dan menolak gesaan TMJ.

 “Kami berkhidmat demi rakyat. Jatuh bangun kerajaan ini adaIah di tangan rakyat. Ini negara demokrasi berpelembagaan,” tegas beliau.

Baru-baru ini sebuah rakaman video menunjukkan Tunku Ismail beredar meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos Stadium di Larkin, Johor selepas JDT 1-0 tewas kepada Shandong Luneng pada perlawanan Kejuaraan Liga AFC.

Ketika kenderaan SUV berwarna hitam yang membawa Tunku Ismail melintasi jalan, penyokong JDT melaungkan “hidup TMJ” namun salah seorang daripada mereka berkata “tukar Mora” merujuk jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Kenderaan SUV itu kemudian tiba-tiba berhenti dan Tunku Ismail yang duduk di bahagian hadapan mengeluarkan kepalanya dari tingkap dan berkata: “Daripada tukar Mora baik tukar perdana menteri.”-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");