Berita Hari Ini

Kerajaan tangani kebanjiran pekerja asing

SANDAKAN: Kerajaan memperkenalkan Notis Penolakan Masuk (NTL) sebagai usaha mengawal kemasukan warga asing ke negara ini, sekali gus menangani kebanjiran pekerja asing, termasuk di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata ia antara inisiatif dilaksanakan kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani cabaran dihadapi rakyat tempatan dalam persaingan mendapatkan pekerjaan.

Beliau berkata, ia sekali gus memastikan keutamaan ruang dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Pada peringkat kerajaan negeri pula, katanya, program regularisasi turut diperkenalkan terhadap majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan mewajibkan mereka mendapatkan pas sah bagi pekerja bermula 1 April lalu hingga 30 September depan, bertujuan membantu menyelesaikan isu keselamatan berhubung kehadiran PATI dalam sektor perladangan dan pertanian.

“Namun malangnya, program regularisasi ini dimainkan oleh pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri bawah pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengkhianati rakyat dengan memberi kad pengenalan kepada warga asing.

“Ia tidak benar, sebaliknya cuma permainan politik bagi meruntuhkan imej kerajaan negeri dan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal),” katanya dalam ucapan merasmikan Program Outreach Institut Latihan Kehakiman Dan Perundangan (ILKAP), Isu-isu Migran di Sabah di Dewan Kompleks Sukan Sandakan, di sini, hari ini, lapor BH Online.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Martin Tommy.

Berdasarkan rekod tahun lalu, Vui Keong berkata, hampir satu per tiga daripada penduduk negeri ini adalah warga asing, namun hanya 30 peratus masuk secara sah, manakala selebihnya dikelaskan sebagai PATI.

“Seperti dilaporkan Jabatan Imigresen Sabah, negeri ini dihuni seramai 1.2 juta warga asing daripada 3.9 juta jumlah keseluruhan penduduk.

“Senario ini memberi cabaran kepada belia, khususnya dalam persaingan mencari pekerjaan, baik di Sabah mahupun di seluruh negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");