Berita Hari Ini

Kes FELDA, Polis Akan Panggil Beberapa Individu

PUTRAJAYA: Polis akan memanggil beberapa individu susulan laporan polis dibuat FELDA yang mendakwa ditipu dalam urusan jual beli saham syarikat Indonesia, Eagle High Plantations TPK (EHP).

Menerusi laporan dibuat, FELDA mendakwa membeli saham melebihi harga pasaran sebenar iaitu pada harga AS$505 juta atau RM2.3 bilion.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menjalankan siasatan segera berpandukan laporan berkenaan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kelmarin.

“Memamg kita ada menerima laporan berkenaan dan kertas siasatan sudah dibuka JSJK Bukit Aman bagi menyiasat perkara itu.

“Malah, polis akan memanggil beberapa individu terbabit dalam urusan jual beli berkenaan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran APAC PoliceTech di Le Meridien Putrajaya, hari ini, lapor BH Online.

Isnin lalu, Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar membuat laporan di IPD Dang Wangi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mengarahkan FELDA membuat transaksi pembiayaan jual beli saham melalui syarikat tujuan khas (SPV) FIC Properties Sdn Bhd (FPSB) dengan PT Rajawali Corpora pada tahun 2016.

Laporan itu menyebut FELDA dipaksa membeli syarikat itu pada harga melebihi 300 peratus daripada nilai pasaran ketika itu.

Susulan pembelian itu, FELDA menanggung kerugian berikutan membayar RM2.3 bilion bagi syarikat yang kini hanya bernilai RM555 juta setakat bulan lalu.

Malah, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi mengesahkan laporan polis terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");