Berita Hari Ini

Klinik Kesihatan Gopeng Akan Dibuka Sementara Di PKD Perak

IPOH – Klinik Kesihatan (KK) Gopeng yang ditutup untuk dibaik pulih akan dibuka sementara di Pusat Komuniti Desa (PKD) Perak yang dahulu dikenali sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak bermula 2 Mei depan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye

Anggota Parlimen Gopeng itu berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan, menaik taraf bumbung serta pendawaian elektrik di KK berkenaan di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah Kampar bermula Mei sehingga November depan.

“Bagaimanapun, bagi perkhidmatan pergigian di KK Gopeng, ia akan berjalan seperti biasa. Pembukaan sementara KK itu di RTC Perak adalah untuk memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas terutama bagi warga Gopeng,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini, sebagaimana dilaporkan Bernama.

Menurutnya, KK sementara itu akan bergabung dengan Klinik Komuniti Daerah, RTC Perak yang menawarkan perkhidmatan kesihatan dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.

“Manakala pada hari Sabtu dan Ahad, Klinik Komuniti Daerah RTC Perak akan beroperasi seperti biasa iaitu dari 9 pagi hingga 6 petang,”katanya.

Mengulas lanjut, Lee berkata bagi melancarkan proses perpindahan ke klinik sementara RTC, Perak, Klinik Kesihatan Gopeng akan ditutup selama lima hari bermula 27 April (Sabtu depan) sehingga 1 Mei ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pesakit yang ingin mendapatkan rawatan kecemasan dan akut sepanjang lima hari penutupan itu di klinik yang berhampiran seperti di KK Malim Nawar, KK Kampar, KK Gunung Rapat atau klinik berhampiran yang lain.

“Bagi pesakit kronik untuk rawatan susulan pula seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain, pesakit disarankan untuk mendapatkan tarikh temu janji baru di talian 05-3596985. Bermula dari 2 Mei 2019, talian 05-3572482 akan dibuka untuk sebarang persoalan lanjut,”katanya.

Beliau berkata KKM menghargai segala kerjasama yang diberikan sepanjang proses penambahbaikan dijalankan dan terus komited untuk memberikan kemudahan kesihatan yang terbaik kepada semua.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");