Sukan Hari Ini

Latihan Pendakian Genting Highland Tingkat Semangat Skuad Negara

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal lebuh raya negara yakin barisan pelumba yang disenarai dapat memberi persembahan terbaik pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang akan bermula Sabtu ini.

Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Mohd Yusof Abdul Nasir berkata pelumbanya sudah menjalani latihan pendakian ke Genting Highlands sebanyak dua kali selain mencuba beberapa laluan sebenar LTdL yang mempertandingkan lapan peringkat dari Kuala Lumpur ke Langkawi itu.

“Kami sudah berlatih di laluan ke Ipoh, Ampang dan sudah dapat naik Genting Highlands sebanyak dua kali. Kami juga sudah berlatih di Cameron Highlands tetapi malangnya laluan itu tak jadi dipertandingkan.

“Untuk laluan pendakian ke Genting Highlands, kami dapat berkayuh sehingga ke puncak biarpun masih tidak tahu di mana penamatnya nanti,” katanya kepada BH di sini hari ini.

Kali terakhir Genting Highlands dipertandingkan adalah pada tahun 2014 dengan pelumba Tabriz-Petrochemical dari Iran, Samad Pourseyedi muncul pemenang di peringkat pendakian ke Genting Highlands sekali gus memberikannya menyarung jersi kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan.

Yusof berkata dia juga akan memutuskan enam daripada pelumba yang sedang menjalani latihan pusat untuk diturunkan pada LTdL kali ini dalam satu majlis pada Rabu ini.

“Saya akan memilih enam pelumba berdasarkan prestasi pelumba ketika kem latihan. Bagi saya kelapan-lapan pelumba ini mempunyai prestasi lebih kurang sama cuma yang dipilih nanti mempunyai sedikit kelebihan,” katanya.

Dia berkata dua pelumba lagi yang tak dipilih akan diberi peluang mewakili skuad kebangsaan pada Jelajah Chongming Island di China pada 9 hingga 11 Mei ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");