Membawang Hari Ini

Mamat Kembali Beraksi Selepas 27 Hari

TANJUNG MALIM – Beliau dijangka hanya mempunyai 25 peratus peluang untuk hidup. Penyakit paru-paru berair yang  dialaminya membuat pengarah filem tersohor itu terlantar koma hampir 27 hari di dalam hospital bulan lalu.

Namun sebaik sahaja tersedar, Mamat Khalid berkata, beliau seolah-olah mendapat semangat baru setelah mendapat tahu begitu banyak pihak yang mendoakan kesembuhannya.

Katanya, beliau bersyukur kerana Allah memakbulkan doa tersebut hingga membolehkannya kembali bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak ‘buah tangan’ sebagai hadiah kepada mereka yang sentiasa menantikan karyanya.

Antaranya menurut Mamat adalah telemovie 17 Puasa iaitu sambungan kepada drama 16 Puasa yang mendapat sambutan luar biasa daripada penonton tak lama dulu.

Beliau yang lebih selesa membahasakan dirinya dengan panggilan ‘abang’ berkata, walaupun kini beliau hanya mampu berkerusi roda namun itu tak pernah menghalang beliau untuk melakukan penggambaran yang beliau sifatkan sebagai ‘makanannya’ selama ini.

“Apabila abang dah dapat menggerakkan tangan dan kaki, abang kata nak ‘shoot’ drama 17 Puasa pasal rasa macam terhutang, lagipun dah ada banyak benda dalam kepala ni untuk dicurahkan ke dalam drama tersebut.

“Mula-mula pihak Astro tak bagi, mereka minta abang jaga dan utamakan kesihatan terlebih dahulu tetapi abang kata ‘mood’ dah nak sampai ni.

“Lagipun abang kata bulan Ramadan dah dekat jadi mereka pun kata OK. Kemudian abang jumpa seorang kawan yang kemudiannya bersetuju untuk menerbitkan drama ini. Alhamdulillah penggambaran berjaya selesai hanya dalam tempoh lapan hari sahaja!,” ujarnyanya bersemangat.

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif program OwhMG! terbitan Malaysia Gazette di kediamannya di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Mamat dalam nada sebak mengatakan faktor terkuat yang membuatkan beliau bangkit daripada penderitaan yang dialaminya adalah berkat sokongan keluarga dan mereka yang berada di sekeliling beliau termasuk para krew dan pelakon.

“Drama dan filem adalah ‘makanan’ abang, setiap pembuat filem dia tak makan pun tak mengapa, bila dia tak shoot, jiwa dia akan meruntun. Untuk menyihatkan abang lagi, abang bagitahu Kak Intan (isteri) tolonglah, saya perlu kembali ke set penggambaran.

“Alhamdulillah, shooting itu memberikan abang semacam vitamin dan tenaga. Bila kita cipta shot, kita cipta dialog…benda tu mencambahkan minda dan semangat abang. Semuanya bercantum menjadi satu sekaligus ibarat satu proses penyembuhan untuk diri abang,” katanya lagi.

Ditanya mengenai perancangan akan datang, Mamat berkata yang beliau akan mula menjalankan kerja-kerja pra-produksi dengan tim beliau selepas Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, beliau bercadang menghasilkan dua buah filem menjelang akhir tahun ini.

“Ada banyak lagi cerita dan karektor yang belum saya hasilkan, contohnya selepas menghasilkan filem Man Laksa, saya ingin menghasilkan filem Mamat Karaoke pula.

“Saya bersyukur kepada Tuhan di atas kekuatan yang Dia berikan tetapi itulah, banyak sudah yang diberikanNya, namun sikit sangat yang kita ni sebagai manusia membalasnya,” katanya perlahan. – MalaysiaGazette.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");