Perak Hari Ini

MAPS: Saarani Persoalkan Tindakan Zhemin Sering Menyerang Zambry

IPOH: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah tempat yang sesuai untuk dibangkitkan sebarang isu berkaitan urusan perniagaan Perak Corporation Berhad (PCB).

Beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak berkata perkara tersebut sepatutnya dibangkitkan dalam mesyuarat ahli lembaga syarikat itu.

Saarani juga mempersoalkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin yang sering menyerang dan mengaitkan Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam isu dakwaan salah laku pengurusan kewangan Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS).

“MAPS dibangunkan Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) yang mana ia dikongsi bersama-sama dua entiti iaitu salah satunya PBC Development Sdn Bhd (PCBD), yang mewakili PCB.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) memang mempunyai saham 53 peratus dalam PCB namun ia hanya terhad berfungsi sebagai pemegang saham.

“Ia tidak boleh terlibat secara langsung dalam urusan perniagaan PCB kerana PCB ialah syarikat tersenarai awam yang mana PCB memunyai pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang tersendiri. Ia juga terikat dengan peraturan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” katanya.

Jelasnya walaupun sebagai Bekas Pengerusi PKNP namun Zambry tetap tidak mempunyai upaya untuk mencampuri sebarang urusan perancangan perniagaan PCB.

“Sebagai pemegang saham, PKNP tidak boleh bersuara dalam keputusan perniagaan PCB. Mereka hanya boleh bersuara dalam mesyuarat agung tahunan.

“Keputusan PCB mengadakan projek MAPS, menambah saham dan sebagainya itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat agung tahunan. Ia dibincangkan dalam lembaga pengarah PCB,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Tambahnya lagi, sekiranya Zhemin meneruskan tindakannya membincangkan secara terbuka perkara berkenaan ia dikhuatiri akan menggoyahkan keyakinan para pelabur terhadap syarikat.

Katanya ia juga berkemungkinan bakal memberi kesan kepada saham PKNP dalam PCB.

Dalam sidang media berasingan, Zhemin mengesahkan bahawa beliau telah menghantar notis usul kepada Speaker DUN pada 14 April lalu.

Ujarnya ia berkaitan usul bagi laporan audit dalaman khas MAPS yang dijangka dibahaskan dalam persidangan DUN Perak pada Selasa nanti.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");