Membawang Hari Ini

Mariah Carey ‘Ajar’ Idayu Menyanyi

KUALA LUMPUR: Bukan semua orang diberikan anugerah memiliki nada suara tinggi.

Justeru, apabila keupayaan sedemikian menjadi milik seseorang penyanyi, ia tentu sahaja memberikan kelebihan buat artis terbabit.

Idayu Yaakob, 33, antara artis wanita yang bertuah apabila memiliki tona suara seakan-akan bintang tersohor dari Amerika Syarikat (AS), Mariah Carey.

Malah, sejak di bangku sekolah, wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini sudah dikenali dengan kemampuan suara ‘wiselnya’.

Namun, kelebihan yang dimiliki Idayu turut dianggap sesetengah pihak sebagai kekurangan dirinya dalam seni. Selain dilihat seperti tiada identiti, juara program realiti, AF Megastar, ini juga dikatakan terlalu meniru gaya penyanyi My All dan Hero itu.

Sambil ketawa, Idayu mengakui:

“Saya tidak nafikan, ramai peminat mengaitkan saya memiliki tona suara seakan-akan Mariah. Saya bukannya meniru, sebaliknya itulah keistimewaan yang Allah kurniakan kepada saya.

“Saya masih ingat, saya belajar menyanyi menerusi lagu dendangan Mariah. Di situ, saya mampu mempelajari teknik vokal ‘wisel’ seperti dirinya.

“Saya percaya, bukan saya sahaja, malah ramai lagi penyanyi hebat lain memiliki tona suara seperti Mariah. Bukan mudah memiliki suara bernada tinggi, jadi saya sepatutnya bersyukur.”

Idayu menegaskan, tidak adil jika ada pihak berasakan dirinya tidak memiliki identiti sendiri sebagai penyanyi.

“Saya memiliki empat single sepanjang bergelar penyanyi. Tetapi, tiada satu pun daripadanya menyerupai lagu Mariah. Saya menyanyi dengan cara saya.

“Bagaimanapun, saya tidak mampu menolak permintaan peminat yang mahu saya menyampaikan lagu popular Mariah ketika menerima undangan persembahan. Dari situ, mungkin ramai yang beranggapan saya meniru penyanyi terbabit.

“Sebenarnya, suara saya bukan seperti Mariah, tetapi ia adalah teknik vokal yang sama dengan Mariah,” katanya kepada BH Online.

Graduan diploma seni muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia mempelajari teknik vokal ‘wisel’ lebih mendalam apabila berguru dengan Datuk Syafinaz Selamat.

“Apabila saya menyambung pengajian dalam diploma seni muzik, guru saya adalah Syafinaz. Saya pelik apabila orang luar menganggap saya meniru suara Mariah, sedangkan Syafinaz tidak melabelkan saya sebegitu.

“Apabila saya berguru dengan Syafinaz, barulah saya tahu saya memiliki kelebihan teknik vokal bersiul seperti Mariah. Sebelum itu, saya tidak tahu pun.

“Saya anggap ia sebagai satu kelebihan, bukan kekurangan atau meniru,” katanya yang kini sibuk menggalas tugas juri program Ceria Megastar Ministar.

Idayu yang juga seorang ahli perniagaan apabila mewarisi perniagaan jual beli kereta milik keluarga mengaku perjalanan seninya perlahan selepas menjuarai program AF Megastar, dua tahun lalu.

“Jujurnya, saya berusaha keras untuk menempatkan semula diri dalam bidang muzik, selepas 12 tahun timbul tenggelam.

“Bagaimanapun, rezeki belum menyebelahi saya biarpun memiliki empat single.

“Begitupun, saya tetap bersyukur apabila empat karya berkenaan menjadi lagu tema drama. Lagu Di Sini dipilih sebagai lagu tema drama Monalisa, Ganti Diriku pula untuk Nur, Suara Hati bagi Pujaan Hati Kanda dan Selamanya untuk kempen PERKESO Prihatin,” katanya.

Dia sedar, biarpun memiliki empat lagu yang menjadi lagu tema, ia belum mampu meledakkan nama dan populariti dirinya.

“Namun, saya tidak sekali-kali berputus asa dalam perjuangan seni. Dahulu, bakat saya bagaikan tidak dipedulikan selama 12 tahun, tetapi saya dapat membuktikan kelebihan menerusi program AF Megastar.

“Saya pun tidak pernah menyangka akan diangkat sebagai juara. Jadi, jika saya mampu menunggu dengan sabar selama 12 tahun, kenapa saya tidak boleh menanti sedikit masa lagi?

“Saya percaya, jika sabar dan terus berusaha, rezeki akan menjadi milik saya suatu hari nanti,” katanya.

Mewarisi darah seni ibunya, Idayu berkata, dia melihat orang luar lebih menghargai bakat nyanyiannya apabila mendapat reaksi yang baik di laman YouTube.

“Saya mendapat maklum balas yang baik daripada peminat di luar negara. Saya selalunya memuat naik setiap persembahan dalam YouTube.

“Menerusi Idayu Mimic Stars, saya peroleh maklum balas daripada peminat di seluruh dunia,” katanya memetik laporan BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");