Perak Hari Ini

Masjid Negeri Terus Prihatin Akan Nasib Anak Palestin

IPOH: Seramai 10 orang anak yatim telah ditaja Masjid Negeri, Masjid Sultan Idris Shah II menerusi program ‘Satu Masjid, Satu Anak Yatim Palestin’, semenjak ia dilancarkan tahun lalu.

Imam Besar Masjid Negeri, Abd Farid Salleh berkata inisiatif yang diperkenalkan Aman Palestin itu turut mendapat sokongan daripada masjid-masjid utama di seluruh Perak.

Katanya antara masjid lain yang turut menjalankan program yang sama ialah Masjid Muhibbuddin Shah, Masjid Sultan Azlan Shah, Masjid Ubudiah, dan Masjid Kampung Melayu.

“Kaedah mencari penajaan ini kita buka kepada jabatan-jabatan kerajaan yang berada di Ipoh atau mana-mana individu yang mahu bersama-sama menyalurkan sumbangan kepada Aman Palestin dan seterusnya sampai kepada program tajaan anak yatim ini.

“Hari ini juga kita turut mengadakan program penerangan dan penyebaran maklumat kepada jabatan-jabatan kerajaan tentang usaha ini.

“Hal ini supaya mereka dapat mengetahui saluran bantuan untuk program ini. Mungkin sebelum ini mereka tidak tahu,” katanya dalam Sidang Media Penyerahan Kutipan Sumbangan Al-Aqsa di Masjid Negeri, dekat sini, hari ini.

Sebanyak RM189,259.63 berjaya dikutip di semua masjid di seluruh Perak pada 22 dan 29 Mac dan ia diserahkan kepada Aman Palestin Berhad.

Sementara itu, Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahab berkata beliau menyambut baik usaha Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) yang memberi respons positif kepada inisiatif ‘Satu Masjid, Satu Anak Yatim Palestin’.

Jelasnya setakat ini Perak merupakan satu-satunya negeri yang berjaya melaksanakannya dan menyeru agar negeri lain dapat mencontohi Perak dan JAIPk dalam usaha murni ini.

“Ini merupakan lonjakan yang besar kerana Perak merupakan satu-satunya negeri yang menjalankan inisiatif ini. Negeri lain mungkin ada idea, tetapi belum sampai ke tahap seperti ini.

“Perak telah memulakan langkah yang baik dan berharap negeri lain dapat mencontohinya,” jelasnya.

Difahamkan Masjid Negeri membuat tajaan berjumlah RM1,800 kepada 10 orang anak yatim Palestin secara bulanan.

Program ‘Satu Masjid, Satu Anak Yatim Palestin’ menyasarkan anak-anak yatim sekitar umur 2 ke 15 tahun yang kehilangan bapa akibat syahid.

Menurut Pengurus Aman Palestin Perak, Khairul Amin Ibrahim, pihak mereka akan mengadakan jelajah di semua masjid di negeri ini bagi memberi penerangan terhadap inisiatif tersebut.

Dalam sidang media sama, Khairul berkata pada bulan Ramadan ini, Aman Palestin akan mengadakan beberapa program yang bertemakan Semarak Ramadan.

Antaranya ialah Pemuda Subuh, Cabaran RM50 Ramadan selain membuka peluang kepada umum untuk terus memberi sumbangan berbentuk pakej berbuka puasa serta bantuan hari raya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");