Berita Hari Ini

Mayat Ditemui Dalam Keadaan Bersujud

LANGKAWI- Wanita yang maut dalam kebakaran di Pangkalan Nelayan Sungai Tepa di sini, pagi tadi, ditemui dalam keadaan bersujud di sisi mayat anak lelaki bongsunya.

Perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa, Mohd Ridzwan Man, 40, yang bergegas ke lokasi kejadian selepas mengetahui tragedi berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

“Setiba di tempat kejadian, saya meminta izin pihak polis untuk masuk ke dalam rumah musnah terbakar itu bagi mengenal pasti mayat yang ditemui.

“Mayat wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki ditemui di dalam bilik air memang sah Nor Suhaila Ahmad, 41 bersama anaknya, Mohd Naufal Mohd Nahar, 6. Mereka adalah isteri dan anak kepada Mohd Nahar Suhami, 39.

“Mayat dijumpai di ruang tamu pula hanya ada cebisan akibat rentung,” katanya yang juga bapa saudara kepada Mohd Nahar, ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Ridzwan yang juga pengusaha syarikat pelancongan berkata, mayat wanita berkenaan ada kesan terbakar pada badan dan dalam keadaan bersujud.

“Mayat kanak-kanak lelaki nampak lebih sempurna dan saya percaya dua beranak itu cuba menyelamatkan diri dengan masuk ke bilik air ketika kebakaran.

“Rumah ini digunakan keluarga terbabit sebagai persinggahan sahaja kerana mereka memiliki kediaman lain di Kampung Kenyum,” katanya.

Mohd Ridzwan berkata, pasangan berkenaan ada lima anak membabitkan empat perempuan dan seorang lelaki berusia antara enam hingga 20 tahun.

Katanya, kali terakhir beliau berjumpa dengan anak saudaranya ialah dua hari lalu ketika mereka berkelah sambil menonton persembahan udara sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19).

“Dua hari lalu, kami mengadakan perjumpaan keluarga di tepi laut berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Ketika itu, tiada perubahan sikap yang ketara, malah saya sempat bergurau dengan anak lelaki tunggal arwah yang turut terkorban dalam kebakaran berkenaan,” katanya. – BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");