Perak Hari Ini

MB Hadir Sambutan Vesakhi 2019

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini hadir bagi merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Vesakhi di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.

Majlis tersebut turut dihadiri Datuk Seri Nizar Jamaluddin, ADUN Sungai Rapat merangkap Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, A. Sivanesan, ADUN Sungkai yang juga Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, V. Sivakumar, Ahli Parlimen Batu Gajah serta Thomas Su, Ahli Parlimen Kampar.

Dalam majlis itu juga, Ahmad Faizal berkata walaupun dari segi perbandingan, bilangan masyarakat Sikh di negeri ini kecil berbanding kaum-kaum lain, tetapi kerajaan negeri mengiktiraf peranan besar yang dimainkan oleh mereka dalam pembangunan negeri.

“Kita amat menyanjungi dan menghargai jasa masyarakat Sikh yang begitu penting, khususnya dalam bidang perubatan, guaman, pendidikan dan keselamatan, terima kasih kepada mereka kerana sentiasa memberikan sokongan yang kuat kepada kerajaan negeri dan kita mahu hubungan yang sangat baik ini diperkukuhkan lagi bagi meneruskan agenda pembangunan negeri Perak tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Rumah Terbuka Hari Vesakhi, petang tadi.

Ujarnya lagi, sambutan perayaan Vesakhi ini bukan hanya disambut oleh masyarakat Sikh sebaliknya ia turut diraikan oleh pelbagai kaum di negara ini.

Majlis yang bermula seawal 4.00 petang hingga 9 malam itu turut menyediakan makanan tradisi masyarakat Sikh secara percuma kepada sesiapa yang hadir serta persembahan menarik daripada artis-artis terkemuka antaranya ialah Sardara Gill, Sunandra Dharma dan ramai lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");