Perak Hari Ini
Like

MB Seru Lebih Banyak Syarikat GLC Bantu Jaga Kebajikan Orang Asli

April 12, 2019
558 Views
0 Comments
2 minutes read
MB Seru Lebih Banyak Syarikat GLC Bantu Jaga Kebajikan Orang Asli

TAPAH- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru agar lebih banyak syarikat GLC di negeri ini untuk bersama menjaga kebajikan orang asli.

Jelas Ahmad Faizal, setiap GLC di Perak perlu berkongsi tanggungjawab untuk meningkatkan taraf hidup golongan tersebut.

“Masyarakat ini harus diberi perhatian bagi memastikan mereka mendapat pendedahan yang cukup untuk memajukan diri mereka terutamanya bagi golongan muda.

“Anak-anak mereka harus diberikan akses pendidikan yang terbaik serta peluang untuk mereka mengasah bakat supaya dapat mendayaupayakan diri mereka untuk tujuan memajukan masyarakat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kampung Angkat Orang Asli anjuran Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) di Kampung Sungai Cincin, Chenderiang, hari ini.

Ujarnya lagi, usaha sebegini perlu diperbanyakkan bagi membantu mereka dan ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial yang harus diberi perhatian bukan hanya untuk syarikat-syarikat GLC tetapi untuk semua lapisan masyarakat.

Pada perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin berkata melalui program ini, pihaknya akan memberi fokus kepada pembinaan dan pembangunan modal insan menerusi tiga bidang utama iaitu pendidikan, sukan, dan pemerkasaan wanita.

“Dalam bidang pendidikan, kami akan cuba bantu para pelajar sekolah rendah untuk menguasai kemahiran asas tiga ‘M’ iaitu membaca, menulis dan mengira manakala pelajar sekolah menengah pula akan diberi bimbingan untuk menguasai subjek Bahasa Inggeris dan Matematik agar mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau juga percaya anak orang asli ini memiliki bakat yang perlu diketengahkan dalam bidang sukan, ini dilihat melalui beberapa siri klinik bola sepak dan latihan anjuran MB Inc di kampung tersebut bagi mencungkil bakat bakat baru.

Tambahnya lagi dalam usaha memperkasakan golongan wanita pula, pihaknya akan berusaha memberikan latihan kemahiran menerusi kelas menjahit, bakeri dan kecantikan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.