Berita Hari Ini

Menteri Nafi Akan Laksana Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menafikan laporan bahawa kerajaan akan melaksanakan Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV) yang mewajibkan kenderaan lama lulus pemeriksaan sebelum memperbaharui insurans dan cukai jalan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata kajian berhubung ELV pernah dibuat, namun kerajaan tidak mempertimbangkan dasar itu.

“Itu berita palsu sebab kita tiada dasar ELV sekarang. Saya sudah banyak kali berkata bahawa ia tidak dipertimbangkan. Saya terkejut ada laporan seperti itu.

“Kuasa mengenai dasar ELV adalah bawah Kementerian Pengangkutan kerana pelaksanaan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bukan melalui apa-apa agensi lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari JPJ Ke-73, di sini, hari ini, lapor BH Online.

Kelmarin, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, sebagai berkata kerajaan dijangka mengumumkan semakan semula dasar kereta nasional pada suku kedua tahun ini dan mempromosikan semula ELV yang mewajibkan kenderaan lama lulus pemeriksaan bagi memperbaharui insurans dan cukai jalan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pelaksanaan ketika ini ialah jika sesebuah kenderaan tidak memperbaharui cukai jalan selepas 12 bulan tamat tempoh sah laku, ia perlu menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tanpa mengambil kira berapa usia kenderaan itu.

“Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang sebab belum ada dasar seperti ini (ELV) lagi,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");