Berita Hari Ini

Mujahid: Tabung Haji Catat Deposit Baru RM1 Bilion

Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat kemasukan deposit baru berjumlah hampir RM1 bilion selepas proses pemulihan dan penstrukturan semula institusi itu dilakukan di bawah kerajaan PH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata perkembangan positif itu menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap badan pemegang amanah itu tetap kukuh walaupun menerima pelbagai tohmahan.

“Jumlah pendeposit baru ini berjaya mengimbangi deposit keluar dan secara puratanya kewangan TH berjaya dikawal.

“Malah maklumat terkini daripada pengurusan TH menyatakan bahawa TH kini berada pada landasan yang tepat dan prestasi kewangan TH akan bertambah baik pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pondok Raudhatul Ulum di Kelantan, hari ini.

Pada majlis sama Mujahid turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Taqwa kepada Guru Pondok, Ali Ab Rahman Hassan bagi pembinaan pondok tersebut yang akan dibina di atas tanas seluas hampir satu hektar dengan kos keseluruhan berjumlah RM2 juta.

Mujahid berkata kerajaan akan terus memastikan TH kekal sebagai pemegang amanah yang dipercayai bagi mengurus dan menjamin simpanan serta pelaburan pencarum di negara ini.

“Saya yakin bila kita telus keyakinan rakyat kepada kewibawaan TH akan bertambah kukuh. Kita mahu pencarum mendapat gambaran yang jelas dan menerima faedah dengan cara yang betul,” katanya.

Dalam pada itu katanya kerajaan akan terus menanggung subsidi jemaah haji tahun ini sebanyak RM400 juta bagi menampung kos keseluruhan sebenar bernilai RM12,400 bagi setiap jemaah.

Katanya kerajaan juga akan memikirkan kaedah tertentu bagi mengekalkan kos perbelanjaan mengerjakan haji sedia ada walaupun kos sebenar sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.

Kerajaan PH komited memulihkan Tabung Haji termasuk dengan memberi suntikan dana sebanyak RM17.8 bilion dan permulaan RM500 juta pada tahun hadapan, katanya lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");