Membawang Hari Ini

‘Nur 2 Bukan Drama Untuk Kanak-Kanak’

KUALA LUMPUR: Menegaskan karya arahannya, Nur 2, tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak, Shahrulezad Mohameddin berharap golongan ibu bapa perlu peka mengenai perkara itu.

Dia yang juga penulis skrip drama terbabit berkata, ada segelintir masyarakat belum faham mengenai klasifikasi PG13 yang bermaksud untuk tontonan penonton 13 tahun ke atas, dengan bimbingan ibu bapa.

“Mungkin ada yang belum faham kenapa Nur 2 diklasifikasikan sebagai PG13 untuk siaran kali ini, bukannya U. Ada juga sebab kenapa ia ditayangkan pada jam 10 malam menerusi slot Samarinda dan bukannya slot Akasia jam 7 malam.

“Terus-terang, Nur 2 yang mengisahkan dunia pelacuran sama sekali tidak sesuai untuk tontonan kanak kanak. Bagi remaja pula, mungkin ibu bapa perlu berada bersama mereka.

“Jadi, golongan ibu bapa boleh menggunakan peluang ini sebagai medium bagi mendidik anak-anak mereka berkaitan pendidikan seks dan sebagainya,” katanya.

Shahrulezad berkata demikian di Instagram sebagai mengulas kritikan penonton yang memintanya lebih sensitif kerana drama terbabit dikatakan mengandungi unsur seksual dan tidak sesuai ditonton oleh golongan kecil.

Dalam pada itu, Shahrulezad berkata, golongan ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab dalam memantau anak-anak mereka daripada menonton drama berunsur keganasan mahupun seksual.

“Saya bukan buat drama Nur 2 ini untuk kanak-kanak. Ibu bapa perlu bertanggungjawab sama dalam mengawal isi kandungan cerita untuk anak-anak mereka.

“Rancangan untuk kanak-kanak adalah pada siang hari, bukan malam. Selalunya, program pada sebelah malam adalah untuk tontonan orang dewasa, terutama pada jam 10 ke atas,” tegasnya.

Sementara itu, pengarah terbabit turut meminta orang ramai tidak membandingkan Nur 2 dengan musim pertama apabila kisah susulan berkenaan lebih menonjolkan sisi watak antagonis, Juita, yang berasakan tiada salahnya dia melacur.

“Jangan bandingkan (Nur 2) dengan Nur yang pertama. Watak utamanya (Nur) ialah seorang pelacur yang membenci kariernya dan sehabis baik mahu keluar dari dunia itu. Sebab itu ia mendapat kategori U.

“Manakala dalam Nur 2, watak antagonis iaitu Juita (lakonan Azar Azmi) adalah seorang yang berasakan tidak mengapa dirinya menjadi seorang pelacur. Apa yang Juita lakukan dalam kereta itu adalah lumrah dan biasa bagi seorang pelacur.

“Kalau kita rasa tak selesa dengan imej sedemikian, saya cadangkan kepada penonton budiman sekalian, sila jangan tonton. Itulah sebaik-baik tindakan. Pilihan terletak atas diri kita sendiri,” ujarnya kepada BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");