Berita Hari Ini

Orang Asli Ditawarkan Ikuti Program TVET Secara Percuma

IPOH: Masyarakat Orang Asli di seluruh negara kini ditawarkan mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara percuma di semua institusi kemahiran bawah Kementerian Sumber Manusia.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata langkah itu sebagai komitmen kerajaan terhadap usaha mengeluarkan masyarakat Orang Asli daripada kelompok miskin tegar dengan memberi pendidikan bukan sahaja akademik tetapi juga latihan kemahiran.

Malah, katanya, kementerian akan turut memberi kelonggaran untuk kemasukan Orang Asli di mana-mana institusi latihan bawah kementerian berkenaan.

Beliau berkata, sebelum ini antara syarat kemasukan ditetapkan ialah perlu lulus mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Orang Asli masih terpinggir dalam semua aspek seperti ekonomi, politik dan sebagainya. Maka bagi membantu mereka, kementerian akan memberi sedikit kelonggaran kepada masyarakat itu untuk kemasukan ke pusat TVET di negara ini.

“Mereka hanya perlu pandai membaca dan menulis untuk menyertai kursus TVET diminati bawah kementerian saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat program TVET untuk pelajar dan ibu bapa Orang Asli anjuran Persatuan Orang Asli Perak (POAP) serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perak di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak, Simpang Pulai, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi POAP, Datuk Suki Mee, dan Pengarah ILP Perak, Jamil Yahya.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, melalui inisiatif itu, Orang Asli terbabit tidak perlu mengeluarkan kos pembelajaran yang akan dibiayai kerajaan sepenuhnya.

“Kemasukan Orang Asli di institusi kemahiran negara ini memang sangat kurang. Oleh itu, diharapkan usaha ini dapat menarik lebih ramai belia Orang Asli menyertai bidang TVET,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");