Berita Hari Ini

Pasangan Tan Sri, Puan Sri Ditahan Kes 3 Amah Dakwa Dilayan Buruk

KAJANG: Suami isteri bergelar Tan Sri dan Puan Sri yang didakwa melayan tiga pembantu rumah warga Indonesia dengan buruk dan kasar sehingga mangsa melarikan diri dari banglo pasangan itu, ditahan polis, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 8 pagi tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kajang.

Beliau berkata, Majistret Mahkamah Kajang, Nor Afidah Idris, membenarkan perintah reman sehari hingga jam 5 petang ini terhadap pasangan terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Polis masih menjalankan siasatan terhadap kes ini. Orang ramai yang ada maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Vekram Sinnaiah melalui talian 019-4737108,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian pada 22 Mac lalu, tiga amah warga Indonesia berusia antara 25 hingga 41 tahun itu dilapor melarikan diri dari banglo majikan mereka di Country Heights, dekat sini, selepas mendakwa dicederakan, selain tidak dibayar gaji oleh pasangan terbabit.

Mereka yang masing-masing sudah bekerja selama tujuh tahun, empat tahun dan enam bulan di banglo itu dikata melarikan diri dengan cara memanjat pagar kediaman berkenaan sebelum seorang lelaki tidak dikenali membantu membawa mereka ke pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia di ibu negara.

Mereka mendakwa melarikan diri selepas tidak tahan dilayan dengan kasar dan pernah dipukul dengan cara ditampar serta ditumbuk.

Selain itu, mereka mendakwa tidak dibenarkan pulang ke Indonesia, manakala pasport disimpan oleh majikan terbabit.

Sebelum ini, Ahmad Dzaffir dilaporkan sebagai berkata, pihaknya sudah pergi semula ke rumah perlindungan di mana wanita terbabit ditempatkan sementara waktu, untuk merakam lanjut percakapan mereka, semalam memetik laporan BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");