Sukan Hari Ini

Pasukan Liga M Sesak Nafas Tunggu Geran MFL

KUALA LUMPUR: Pemegang taruh dalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL) iaitu pasukan Liga Malaysia (Liga M) sudah mula menyuarakan kebimbangan selepas masih lagi belum menerima geran tahunan bagi musim 2019.

Kebiasaannya, geran tahunan akan diberikan pada bulan Mac seperti musim lalu namun memasuki bulan April 2019, geran tahunan masih lagi ‘tersekat’ dipercayai susulan penarikan diri penaja utama, Telekom Malaysia (TM) pada bulan lalu.

Bagaimanapun, pasukan jelas memahami situasi yang sedang dialami badan pentadbir liga itu namun mengharapkan situasi itu tidak berlarutan sehingga dapat menjejaskan perancangan pasukan bagi musim ini.

Wakil pasukan yang enggan dikenali mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang pengumuman lanjut daripada MFL berhubung kelewatan pembayaran geran tahunan bagi musim ini namun mereka sedia menunggu kerana percaya isu itu boleh diselesaikan.

“Ketiadaan geran seperti yang dijanjikan memang sedikit sebanyak menjejaskan perancangan pasukan. Kita bukan bercakap bagi satu pasukan sahaja tetapi untuk semua pasukan yang bertanding bagi musim ini khususnya pasukan yang memiliki kewangan yang terhad.

“Namun kita tidak mahu terlalu mendesak MFL mengenai isu ini. Kita akan bersabar dan optimis MFL akan terus berusaha untuk membantu semua pasukan membabitkan isu geran ini.

“Bagi kami, kami laksanakan pengurusan perbelanjaan dengan lebih ketat supaya mampu bertahan dalam pengurusan pasukan.

“Apapun, kami mengharapkan MFL dapat segera mencari penaja sekali gus menyerahkan geran seperti yang dijanjikan. Harapnya tidak terlalu lama sehingga penghujung musim,”  katanya ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Terdahulu, badan pengendali liga itu memberi jaminan akan berusaha menyerahkan geran tahunan kepada pasukan Liga M biarpun ketiadaan penaja, Telekom Malaysia (TM) pada musim ini.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan nilai serta tarikh penyerahan geran hanya akan terjawab sebaik mencapai perjanjian bersama penaja rasmi baharu Liga M nanti memetik laporan BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");