Berita Hari Ini

Pegawai Polis Tak Mengaku Terima Wang Hasil Aktiviti Haram

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima wang RM17,000 hasil daripada aktiviti haram, dua tahun lalu.

Menurut laporan BH Online, Asisten Superintendan Md Maizaili Mohamed, 53, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang berjumlah RM17, 000 daripada seorang individu melalui akaun Maybank Islamic Berhad miliknya yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Maybank Islamic Berhad Cawangan Muar, Jalan Abdullah, Muar, antara 16 Februari 2017 hingga 15 Mei 2017.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Farez Rahman, manakala tertuduh yang masih bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka itu tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi pengurusan dan lantikan peguam pada 8 Mei ini.

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan media memaklumkan tentang penahanan pegawai kanan polis itu kira-kira jam 2.30 petang di Pejabat SPRM Melaka ketika hadir untuk memberi keterangan.

Menurut SPRM, tertuduh dipercayai menerima wang berjumlah RM17,000 hasil aktiviti haram membabitkan kegiatan perjudian di sekitar negeri Melaka.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");