Perak Hari Ini

Pelajar Cemerlang SPM, STPM 2018 DUN Chenderiang dan Parlimen Tambun Dirai

IPOH: Seramai 56 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang dan Parlimen Tambun diraikan dalam Majlis Apresiasi dan Santai Malam di Kediaman Lama Menteri Besar, di sini, malam tadi.

Turut diraikan sama, seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 dari daerah Batang Padang dan dua dari Kinta Utara.

Difahamkan kesemua penerima SPM tersebut mendapat keputusan 8A dan ke atas dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 bagi penerima STPM.

Majlis disempurnakan Penasihat Kepada Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, mewakili Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang sedang berada di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Tambun.

Dalam ucapannya Zainol berkata kerajaan negeri berharap agar lebih ramai lagi anak-anak Perak yang dapat mencontohi kejayaan mereka.

Beliau juga mengingatkan kepada kesemua penerima agar terus melakar kejayaan pada masa hadapan.

“Perjalanan mereka masih jauh. Banyak liku kehidupan yang perlu ditempuhi. Kehidupan ini tidak hanya berkisar terhadap apa yang dipelajari dalam kelas sahaja.

“Saya yakin tahap pendidikan yang diberikan para guru dan ibu bapa kepada anda telah berjaya menjadikan anda berada dalam kumpulan yang cemerlang.

“Saya harap lebih ramai akan mengekori kejayaan anda dan menjadikan anda sebagai contoh,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri sentiasa berusaha bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan di negeri ini supaya Perak dapat menjadi negeri yang sentiasa melahirkan modal insan yang terbaik.

Jelasnya salah satu inisiatif tersebut ialah apabila Ahmad Faizal bersama-sama delegasi kerajaan negeri menghadiri siri lawatan kerja ke Jepun.

“Baru-baru ini Menteri Besar telah ke Universiti Tsukuba di Jepun. Antara tujuan lawatan beliau ke sana ialah bagi menawarkan Perak kepada universiti tersebut bagi membuka cawangan di sini.

“Ini dapat menjimatkan kos para pelajar kita yang ini melanjutkan pelajaran di institusi pengajian Jepun,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");