Berita Hari Ini

Pendakwah Dikaitkan Dengan Zakir Naik Ditahan Polis Di Arau

KANGAR: Seorang pendakwah bebas yang dikatakan mempunyai kaitan dengan tokoh pendakwah terkenal dari India, Zakir Naik, ditahan polis di Arau awal pagi tadi untuk siasatan kes menghina agama lain menerusi kenyataan dalam akaun Facebook miliknya

Suspek berusia 34 tahun yang juga pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan kira-kira jam 2.30 pagi di hadapan sebuah restoran di bandar berkenaan, susulan beberapa laporan polis dibuat di ibu negara, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew, berkata ketika ditahan, lelaki berkenaan baru selesai menghadiri satu program debat atau diskusi agama anjuran NGO miliknya di sebuah institusi pengajian tinggi di negeri ini.

“Polis Kangar hanya menahannya, Bukit Aman akan menjalankan siasatan kerana laporan dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak atas dakwaan menghina agama lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang memiliki beberapa rekod jenayah masih berada di negeri ini, menunggu keputusan Bukit Aman sama ada perlu dibawa ke Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

Suspek yang juga pemimpin pertubuhan berkaitan tabligh mempunyai 3 rekod kesalahan dan pernah ditahan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Wari berkata, tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tindakan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Semalam, sebuah NGO di ibu negara membuat laporan polis selepas pendakwah itu memuat naik kenyataan di Facebook yang didakwa menghina agama bukan Islam dan boleh menimbulkan ketegangan antara penganut agama di negara ini.-BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");