Perak Hari Ini

Pengarah Baharu Mahu Ubah Tanggapan Masyarakat Terhadap Jabatan Kebudayaan

IPOH: Mantan Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Abd Rashid Abdullah kini dilantik bagi menerajui kepimpinan baharu JKKN Perak.

Walaupun mempunyai pengalaman 10 tahun dalam bidang seni teater namun, bagi Abd Rashid beliau mahu memberi fokus untuk pembangunan kepada semua jenis cabang kesenian dan kebudayaan yang ada di negeri ini

“Dalam kita melaksanakan program-program, kita mahu mengubah tanggapan masyarakat yang apabila disebutkan tentang jabatan kebudayaan, mereka hanya fikirkan tentang tarian.

“Sebenarnya aspek kebudayaan ini luas. Ia akan menyentuh aspek cara hidup kita. Ini dapat dilihat melalui program-program kita yang menyentuh beberapa perkara seperi adat resam, nilai murni dan sebagainya.

“Menerusi pengisian program kita juga, para peserta akan dapat melihat kebudayaan dariapda pelbagai jenis latar belakang masyarakat,” katanya.

Anak jati negeri Johor itu juga berhasrat untuk memperkasakan lagi program-program JKKN Perak merentasi batas dan jurang perbezaan kaum, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.

Jelasnya, segala kelemahan yang ada pada semua program sebelum ini dapat dijadikan sebagai satu platform buat JKKN negeri untuk ia ditambah baik.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas majlis Pelancaran Kalender Aktiviti JKKN Perak 2019 di Hotel Impiana, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyedari akan nasib beberapa cabang kesenian di negeri ini yang dilihat kian malap.

Katanya bagi memastikan satu-satu kesenian itu untuk terus kekal mendapat perhatian masyarakat, kualiti kesenian itu harus dipertingkatkan dan JKKN Perak sedang berusaha ke arah itu.

“Harapan saya, kita mahukan bakat yang ada pada kakitangan kami ini sentiasa berada pada tahap yang tinggi.

“Kini kita pun berada di bawah Kementerian Pelancongan dan kita akan cuba cari lebih banyak lagi kesenian dan kebudayaan yang mampu jadi produk pelancongan negeri.

“Kita juga akan bantu NGO kesenian yang ada. Kami ada kelengkapan dan tenaga pakar. Sebelum ia malap dan padam, kita kena selamatkan ia,” jelasnya.

Abd Rashid merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang teater dari Universiti Malaysia Sabah.

Beliau kemudiannya menjalani latihan amali dan diserap berkhidmat di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKWA), sebelum ke JKKN Persekutuan pada tahun 2008 dan JKKN Sabah pada 2010, sebagai penolong pengarah kanan.

Abd Rashid juga sering diundang menjadi juri bagi festival-festival teater di beberapa negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");