Berita Hari Ini

Pengkorporatan Kastam Tidak Diteruskan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak meneruskan pengkorporatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang sepatutnya dilaksanakan pada 2018.

Memetik laporan BH Online, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata kerajaan kini menumpukan usaha memperkasakan JKDM dengan membuat pengezonan semula dan memperkasakan perundangan khususnya berkaitan fungsi penguatkuasaan.

Bagaimanapun, kata beliau, pengkorporatan jabatan itu akan dipertimbangkan pada masa depan selepas kajian secara holistik dibuat.

“Pengkorporatan pada masa depan juga akan mengambil kira peranan, fungsi, kutipan hasil, kawalan sempadan dan penguatkuasa, sebagaimana dilaksanakan negara lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, JKDM mengumumkan penangguhan sementara pengkorporatan institusi itu sementara menanti hasil kajian yang sedang dijalankan pengurusan tertingginya.

Dalam perkembangan lain, Amiruddin berkata kerajaan menganggarkan kutipan hasil meningkat kepada RM1 bilion dengan adanya pindaan dalam RUU Kastam 2019.

Katanya, sebelum ini kutipan hasil JKDM pada 2017 adalah RM57.9 bilion, kutipan 2018 pula adalah RM41.3 bilion manakala bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, kutipan hasil adalah RM11.6 bilion.

“Kerajaan mengunjurkan kutipan hasil kastam tahun ini adalah RM38.3 bilion,” katanya.

Mengulas mengenai ratifikasi Protokol Membasmi Perdagangan Haram Produk Tembakau melalui Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC WHO), Amiruddin berkata kerajaan sedang mengkaji perkara itu.

Katanya, kerajaan sedang menimbang kesediaan pelaksanaan protokol itu termasuk isu perkongsian data dan maklumat selain penentuan agensi yang terbabit.

“Kita mahu apabila hendak melaksanakan ratifikasi itu nanti, agensi yang berkaitan benar-benar bersedia melaksanakannya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");