Berita Hari Ini

Pengurusan Kebersihan, Kesihatan Penjara Perlu Diseragamkan – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR — Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mencadangkan pengurusan kebersihan dan kesihatan di penjara di seluruh negara diseragamkan demi kebajikan banduan.

Nurul Izzah berkata penyeragaman itu perlu bagi memastikan banduan mendapat akses kesihatan dan persekitaran yang bersih walaupun mereka sedang menjalani hukuman.

“Saya tidak minta di luar jangkaan, cukup sekadar standard yang boleh diguna pakai di semua lokap atau penjara agar sentiasa bersih. Jadi kita (Malaysia) kena ada ISO (standard antarabangsa bagi organisasi) sendiri selain mencontohi apa yang diamalkan di Norway..

“Saya pernah kena tahan dulu, jadi saya boleh beritahu status lokap mana yang bersih, lokap mana yang kena perbaiki,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Beliau berkata penjara perlu menjadi sebuah tempat pembetulan kesalahan yang bersih dan bebas daripada sebarang penyebaran penyakit berjangkit.

Nurul Izzah mahu mana-mana banduan yang dikenal pasti menghidap Tuberculosis (TB) diasingkan daripada banduan lain yang sihat bagi mengelakkan penularan wabak tersebut, malah warden penjara juga perlu mengambil langkah bagi mengelak risiko dijangkiti.

“Kajian Universiti Malaya mendapati 70 peratus banduan dijangkiti TB, kerana apa penjara jadi macam inkubator (tempat pembiakan) penyakit, kerana tahap kebersihan penjara itu sendiri. Jadi kita kena naik taraf tahap kebersihan jika nak elak penularan penyakit,” katanya.

Mengenai aspek kesihatan mental dan fizikal, Nurul Izzah berkata setiap banduan mempunyai hak untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan tanpa sebarang diskriminasi.

“Ada banduan terlibat jenayah akibat didorong masalah mental, mereka ini perlu diasingkan daripada banduan biasa dan perlu mendapat rawatan sepatutnya. Ini semua perlukan perancangan rapi melibatkan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nurul Izzah berkata usul persendirian mengenai pembaharuan sistem penjara dan lokap akan dibincangkan di peringkat dalaman sebelum dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk dibentangkan di Parlimen. Menurutnya, perbincangan tersebut akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong melibatkan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Penjara dan dijangka diadakan Isnin depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");