Panasnya Hari Ini

Penjualan Equanimity Bukti Skandal 1MDB Berlaku

SEREMBAN – Penjualan kapal layar mewah Equanimity membuktikan skandal 1MDB yang menyebabkan krisis kewangan negara kini, benar-benar berlaku, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menasihati rakyat supaya tidak lagi ditipu Barisan Nasional (BN), Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, penjualan ini secara tidak langsung, menunjukkan bahawa pemimpin pembangkang berkenaan telah menipu rakyat selama ini dengan menafikan kewujudan skandal itu yang berlaku semasa pemerintahan mereka sebelum ini.

“Mereka cakap itu 1MDB tipu kalau tipu macam mana kita boleh jual kapal mewah ini dengan harga AS$126 juta, ” katanya ketika berucap di hadapan ratusan hadirin di ceramah kelompok Pakatan Harapan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di sini, malam ini.

Turut hadir Naib Presiden DAP yang juga Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook, Naib Presiden PKR yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dan calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK berkenaan Dr S. Streram.

Rabu lepas, Peguam Negara Tommy Thomas dalam satu kenyataan mengumumkan kapal berkenaan dibeli Genting Malaysia Bhd atau syarikat tujuan khas (SPV) dengan harga AS$126 juta (RM514.6 juta).

Guan Eng menjelaskan bahawa negara kini terpaksa menanggung hutang RM150 bilion disebabkan 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitannya.

“Kita kena keluarkan wang puluhan billion ringgit, ini bukan jumlah kecil, tapi mereka yang curi kita dipersalahkan, mereka yang rosakkan kita yang selamatkan kita pula yang salah, saya harap jangan kena tipu kita sudah kena tipu begitu lama, kalau sekarang kita masih mahu kena tipu…macam ini tak ada harapan lah,” katanya.

Menyentuh mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Guan Eng memberi bayangan ia akan diteruskan dalam masa terdekat sekiranya rundingan projek berkenaan diketuai pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin dapat mengurangkan lagi kos pembinaannya.

Katanya, rundingan berkenaan yang dijangka dapat mengurangkan lagi kos pembinaan sehingga RM35 bilion daripada kos asal RM66 bilion, juga bakal membawa berita baik kepada penduduk Negeri Sembilan.

“Kalau ini boleh diteruskan sekiranya boleh turunkan (harga), ini berita baik bukan sahaja untuk negara tetapi juga untuk Negeri Sembilan, dan saya sebut Negeri Sembilan kerana kalau projek ini jalan, jajaran akan berubah, dan saya nak cakap ini bagus untuk Negeri Sembilan.

“Saya boleh cakap macam itu sahaja, saya tak boleh cakap lebih lagi, sekiranya rundingan mengenai harga berjaya, jajaran akan berubah, ini satu berita sangat-sangat baik untuk Negeri Sembilan,” tambahnya.

PRK DUN Rantau pada 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");