Sukan Hari Ini

Perak, PKNS Kongsi Mata Di Ipoh

IPOH: Perak dan PKNS FC terpaksa berkongsi mata selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, di sini, sebentar tadi.

Ini adalah keputusan seri kelima daripada tujuh perlawanan membabitkan skuad The Bos Gaurus dalam kempen liga berkenaan musim ini.

Gol pasukan Perak dijaringkan oleh Shahrel Fikri pada minit ke-39 dan Gilmar de Silva pada minit ke-52 sementara jaringan PKNS di peroleh menerusi Gabriel Guerra pada minit ke-23 dan Romel Ramirez (ke-56).

Dalam aksi malam tadi, pasukan pelawat menguji gawang Perak seawal minit keenam menerusi Chan Vathanaka tetapi rembatannya tepat ke arah Hafizul Hakim.

Empat minit kemudian, Kpah Sherman berjaya meloloskan diri daripada pertahanan tuan rumah namun rembatannya mudah ditepis Hafizul Hakim.

PKNS mengejutkan tuan rumah menerusi gol Guerra yang melakukan aksi terbang pada minit ke-23 selepas menerima hantaran lintang Kpah Sherman dari sebelah kanan.

Tersentak dengan jaringan itu, Perak menggandakan serangan ke kubu lawan namun sepakan lencong Nazirul Naim pada minit ke-24 ditepis Muhammad Zarif Irfan manakala rembatan suku padang Leandro Dos Santos dua minit kemudian, terkena palang.

Perak akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Shahrel Fikri hasil gerakan satu dua dengan Wander Luiz pada minit ke-39.

Stadium Perak kembali gamat apabila De Silva menamatkan kemarau gol musim ini dengan menanduk masuk sepakan sudut yang diambil oleh Wander Luiz pada minit ke-52.

Kegembiraan penyokong ruan rumah tidak kekal lama apabila empat minit kemudian Romel Ramirez yang tidak dikawal mudah merembat masuk hantaran lintang Kpah Sherman dari sebelah kiri.

Peluang terbaik Perak menambah gol muncul pada minit ke-84 menerusi rembatan Shahrel Fikri tetapi ditolak keluar Muhammad Zarif Irfan walaupun pemain pasukan tuan rumah mendakwa bola sudah melepasi garisan gol- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");