Perak Hari Ini

Perbanyakkan Pusat Ajaran Islam: MB

IPOH- Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merasmikan Majlis Perletakkan Batu Asas Projek Pembangunan Pusat Pengajian Islam At- Taiyyibin di Kampung Tersusun Tanah Hitam, Chemor hari ini.

Ahmad Faizal pada satu sidang media berkata, pembinaan pusat pengajian itu merupakan lanjutan kepada kewujudan pusat tahfiz yang sudah pun beroperasi di sini sejak lebih dua tahun yang menempatkan kira-kira 30 orang pelajar.

“Alhamdulillah, hari ini Allah memperkenankan usaha kita untuk melakukan penambahbaikan serta berganjak ke satu tahap lain menerusi permulaan kepada fasa satu pembinaan kompleks pengajian yang merangkumi pembinaan pondok moden bagi dewasa, dewan kuliah, dan rumah guru.

“Saya juga difahamkan terdapat juga premis-premis kedai yang akan turut dibina bagi membantu menjana ekonomi masjid dan usaha ini dijalankan dengan perancangan yang cukup rapi dan seharusnya menjadi contoh kepada pengurusan-pengurusan pusat pengajian serta masjid-masjid lain,” katanya.

Ujarnya lagi, ini merupakan satu usaha memperkukuhkan ekonomi Melayu dan Islam demi membantu perkembangan agama dan pendidikan kepada anak-anak bangsa.

“Bagi menjayakan hasrat itu, saya juga ingin melihat anak-anak yang berada di jurusan agama ini juga digalakkan juga untuk turut sama mendalami ilmu-ilmu lain antaranya sains, matematik dan teknologi serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Ini akan membantu mengimbangi keperluan akhirat dan duniawi dalam diri anak-anak kita supaya dipasakkan dengan nilai-nilai agama yang menjadi panduan hidup, dan dalam masa sama tidak melupakan aspek penting yang membawa perubahan besar kepada dunia hari ini iaitu sains, teknologi dan kemahiran,” katanya.

Pada perkembangan sama, difahamkan projek pembangunan Pusat Pengajian Islam At- Taiyyibin mempunyai dua fasa.

Fasa pertama melibatkan 80 unit rumah pondok warga emas, 1 unit dewan, 6 unit rumah kedai dan 4 unit rumah guru dengan anggaran kos hampir RM10 juta akan dibina.

Pada fasa kedua, bangunan asrama dua tingkat bagi pengajian tahfiz Al-quran dan Ulum Syariah yang mampu menampung seramai 200 orang pelajar berserta perpustakaan, kantin, pusat riadah dan lain lain akan dibina dengan anggaran kos yang sama.

Turut hadir pada majlis tersebut, ADUN Hulu Kinta, Mohd Arafat, Datuk Mohd Yusop Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan juga Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah selaku penaung Pusat Pengajian Islam At- Taiyyibin

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");