Berita Hari Ini

Pesara, Bekas Tentera Digalakkan Ceburi Bidang Pertanian Moden

KLANG: Veteran tentera terutama bekas tentera yang tidak berpencen digesa mengambil peluang untuk menceburi bidang pertanian moden yang mampu memberikan pulangan lumayan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata ia berikutan ada antara pesara dan bekas tentera yang tergolong dalam kelompok B40 dan memerlukan pekerjaan tambahan untuk menampung keluarga masing-masing.

Katanya, bekas tentera yang berhenti selepas tempoh 15 tahun berkhidmat tidak menerima pencen manakala ada yang bersara selepas 21 tahun berkhidmat kepada negara pula menerima jumlah pencen bulanan yang kecil dan tidak mencukupi.

“Selalu yang bermasalah adalah mereka yang tidak berpencen kerana mereka menanggung keluarga dan sebagainya. Yang berpencen, kebanyakan masuk kelompok B40 serta memerlukan pekerjaan tambahan kerana mereka masih muda.

“Antara bidang kita nampak yang perlu diceburi adalah bidang pertanian. Di negara maju bidang pertanian adalah bidang yang lumayan dan berprestasi tinggi, tetapi kita di sini bila disebut saja pertanian ia di tahap yang agak ke bawah.

“Kita harap dengan usaha yang diadakan sekarang, mereka akan menceburi pertanian moden dan menambah pendapatan. EXCO juga kata nak diadakan kerjasama dengan veteran dan ia sangat kita alu-alukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Selangor Agro Market dan Pameran Kerjaya dan Promosi ATM di MARDI Jalan Pesara, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Muhammad Faiz Fadzi dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin.

Terdahulu ketika berucap, Mohamad berkata, negara maju seperti Britain dan Perancis yang terkenal dengan industri berat termasuk sebagai pengeluar pesawat pejuang dan komersial, ia masih tidak meminggirkan pertanian.

Malah, katanya, di Jepun, ada kawasan pertanian di sekitar bandar dan pekan selain dijalankan dengan cara yang baik sehingga menarik perhatian dan minat pelancong dan pengunjung di negara itu.

Sementara itu, Izham berkata, Selangor kini sedang menggalakkan pembabitan semua pihak dalam pertanian moden yang berhasil tinggi di negeri itu.

Katanya, ketika ini, usahawan tani kebanyakan dalam kalangan pengusaha yang sudah berusia, justeru kerajaan negeri menggalakkan kelompok baharu dalam kalangan anak muda untuk terbabit secara aktif dalam bidang pertanian moden yang sangat lumayan, memetik laporan BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");