Panasnya Hari Ini

PKR Lapor Polis Insiden ‘Buli’ Warga Emas

SEREMBAN: Pemuda PKR hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan pemimpin tertinggi dan penyokong komponen Barisan Nasional (BN) yang sengaja ‘membuli’ seorang warga emas demi meraih sokongan politik.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Thiban, berkata kejadian itu dipercayai berlaku malam tadi ketika warga emas berusia 61 tahun itu dipercayai sedang berjalan kaki melintasi satu program ceramah dianjurkan BN.

Katanya, tindakan meminta warga emas itu yang memakai baju kemeja T tertera logo Pakatan Harapan (PH), menukar pakaiannya kepada baju kemeja T tertera tulisan ‘bossku’, satu tindakan tidak bertanggungjawab.

“Kami sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu. Semua video dan foto berkaitan insiden sudah diserahkan kepada polis di Balai Polis Rantau hari ini.

“Kita harapkan ia disiasat (pihak berkuasa) dan mengambil tindakan lanjut. Laporan ini (polis) juga akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan sewajarnya,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Thiban juga kesal dengan tindakan provokasi dilakukan sekumpulan penyokong BN itu, lebih buruk lagi apabila tindakan ‘membuli’ itu turut membabitkan seorang bekas Timbalan Menteri yang kini seorang Ahli Parlimen.

Beliau juga bimbang warga emas itu menjadi bahan jenaka termasuk di media sosial sehingga memalukan diri dan keluarganya.

“Ia sudah pasti memberikan kesan buruk kepada keluarganya, sekali gus membuatkan kami mula bimbang dengan keselamatan warga emas berkenaan memandangkan video itu kini sudah viral dalam media sosial,” katanya.

Rakaman video selama satu minit 35 saat yang dikongsikan itu menunjukkan seorang warga emas dikenali sebagai Nadarajah didekati sekumpulan penyokong dan pemimpin MIC yang cuba memujuknya supaya menukar bajunya.

Video itu turut menunjukkan Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan, bertanya kepada warga emas yang berpakaian baju kemeja T PH berwarna merah sama ada boleh menukar baju itu serta warna kegemaran.

Kemudian, Saravanan memintanya mengenakan pakaian baju kemeja T tertera tulisan ‘bossku’ selepas warga emas itu membuka kemeja T PH yang dipakainya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan itu pada mulanya disedari menantu lelaki warga emas itu, S Saravanan, yang juga Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi PH Bandar Ekar selepas mangsa pulang ke rumah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");