Berita Hari Ini

PM: Penjawat Awam Perlu Rajin, Amanah, Berdisiplin

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggariskan nilai-nilai hidup – rajin, amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab – yang perlu diterapkan penjawat awam untuk membentuk negara yang berjaya dan dihormati dunia.

Dalam perjumpaan bulanannya bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, Dr Mahathir berkata nilai-nilai itu penting bagi penjawat awam yang berada dalam kerajaan sebagai satu jentera yang dipertanggungjawabkan mentadbir negara dengan baik dan telus.

“Apabila kita bekerja cukup rajin, ikhlas dan amanah, kalau itu adalah pegangan kita, kita akan berjaya. Sebaliknya, apabila diberi tanggungjawab, kita abaikan tanggungjawab, tidak bekerja kuat , terlibat dalam rasuah, maka negara tidak mungkin berjaya,” katanya.

Dr Mahathir yang turut menyentuh mengenai lagu “Malaysia Bersih” yang kali pertama dinyanyikan pada perjumpaan itu, berkata lagu itu penuh bermakna dan kandungannya wajar diberi perhatian penjawat awam dalam menumpukan usaha kepada pembangunan negara.

Beliau berkata bacaan doa pada perjumpaan itu yang meminta Allah SWT mengurniakan segala nikmat yang berpanjangan kepada bangsa dan negara tidak akan ditunaikan jika tidak disusuli dengan usaha seperti yang disebut di dalam al-Quran.

“Doa itu baik kepada kita, dan isi kandungan doa itu tidak semata-mata meminta daripada Allah tetapi Allah menyeru kita berusaha ke arah membangunkan sebuah negara yang dihormati dunia.

“Kita akan rasa malu kalau negara ini dihina oleh dunia, dan diberi nama-nama tidak baik. Kita tentu rasa bangga apabila negara kita disebut orang asing sebagai sebuah negara contoh dan model yang baharu sahaja bebas daripada cengkaman penjajah,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, kejayaan hanya dapat dicapai kalau kita isi kandungan lagu Malaysia Bersih dihayati dan doa disertakan dengan berusaha selain daripada sikap amanah dan bertanggungjawab.

“Ini harus kita ingat, kalau lepas doa, sembahyang hajat dan nyanyi lagu dan balik tidur selepas itu, takkan berlaku apa yang dihajati. Untuk menjayakan permintaan kita, kita harus berusaha dengan baik kerana ingin mencapai kepuasan diri, keluarga, bangsa dan negara,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau yakin negara akan terus maju dan berjaya kerana ia ditadbir dengan baik.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengingatkan penjawat awam agar tidak menyalah gunakan kuasa kerana setiap daripada mereka mempunyai kuasa walaupun hanya bertugas sebagai budak pejabat.

Beliau mengimbas kisah pada zaman penjajahan British mengenai seorang budak pejabat yang bertugas dengan seorang majistret yang terlibat dengan rasuah.

“Dia boleh tentukan sama ada majistret lapang atau tidak untuk berjumpa dengan orang. Itu kuasa yang kecil tetapi dengan kuasa itu sahaja dia boleh dapat duit, dia ada kongsi sedikit dengan majistret.

“Ini tidak harus dilakukan oleh kita. Walaupun kuasa itu kecil, kita sudah mula salah gunakan kuasa dan itu bukanlah sesuatu yang dialu-alukan oleh kita,” katanya.

– Bernama 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");