Perak Hari Ini

Presiden PAFA Tidak Tolak Kemungkinan Bakal Dapatkan Import Baharu

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akan berusaha bagi memantapkan lagi barisan pemain skuad The Bos Gaurus untuk menghadapi saingan yang seterusnya.

Presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beberapa penambahbaikan latihan kepada pemain akan ditingkatkan selain menguatkan lagi mereka yang berada dalam posisi serangan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sedang dalam perancangan bagi mendapatkan perkhidmatan pemain import yang baru.

“Saya sendiri berasa kurang selesa dengan beberapa prestasi pemain kita dan kita lihat beberapa posisi itu perlu kita mantapkan lagi terutamanya yang berada dalam posisi serangan.

“Tetapi dalam masa sama, saya perlu bertindak lebih bertanggungjawab agar tidak sewenang-wenangnya membeli pemain baharu yang terlalu mahal.

“Jika boleh, saya mahu ‘groom’ pemain-pemain tempatan. Kalau pun ambil sedikit masa tetapi jika berjaya ia akan jadi kejayaan yang lebih manis,” katanya.

Perak sekali lagi seri dan kali ini terikat 1-1 dengan Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, pada Jumaat.

Kemenangan tunggal skuad The Bos Gaurus dalam liga hanya direkodkan ketika menewaskan PJ City 1-0 pada 9 Mac lalu selain seri enam kali dan tewas sekali.

Ia juga mengundang pelbagai reaksi khususnya dalam kalangan penyokong bola sepak Perak.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata beliau turut berasa sedih dan kecewa dengan pencapaian skuad The Bos Gaurus setakat ini.

Namun katanya beliau berharap semua pihak tidak patah semangat sebaliknya terus memberi sokongan kepada pemain bola sepak negeri dan berharap mereka dapat memberikan keputusan yang lebih baik pada perlawanan akan datang.

“Saya masih ingat pada awal tahun 2000, kita mengalami nasib sebegini sehingga digelar ‘pakar seri’ dan ianya kembali lagi kepada pemain kita. Saya berharap agar jurulatih dapat berusaha dengan lebih gigih dan mempertajamkan lagi barisan serangan.

“Kita faham perasaan penyokong namun, dari segi urusan pentadbiran kita hanya boleh lakukan dalam menjaga kebajikan para pemain, pegawai dan sebagainya.

“Namun, segala persembahan di atas padang itu ia bergantung kepada pemain itu sendiri dan segala latihan yang mereka lalukan sepanjang hari,” jelasnya.

Beliau terdahulu ditemui pemberita pada program Fiesta Sehati@RTM di Perkarangan RTM Perak, dekat sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");