Berita Hari Ini

PRK RANTAU: 110 Pengundi Awal Mengundi Esok

SEREMBAN: Seramai 110 daripada 118 pengundi awal bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan mengundi esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata mereka adalah 74 anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan dan 36 anggota polis yang akan mengundi di Balai Polis Rantau.

Katanya, baki seramai lapan pengundi terdiri daripada tentera akan mengundi secara pos.

“Kedua-dua pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup pada jam 12 tengah hari.

“SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara langsung menerusi Facebook SPR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH); Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan dua lagi calon bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad, diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi itu selepas Dr Streram dilarang memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang pencalonannya kerana tertinggal pas dikeluarkan SPR.

Azhar berkata, proses pengundian awal akan disaksikan setiap ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang terdiri daripada wakil organisasi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik SPR.

Katanya, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian 13 April ini .

Beliau berkata, pengiraan akan dijalankan di pusat pengiraan undi berkelompok di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan dan akan disaksikan ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");