Perak Hari Ini

Proses Pendengaran PAC Bergantung Kepada Budi Bicara Jawatankuasa – Speaker DUN Perak

IPOH: Sesi Pendengaran ataupun perbicaraan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak yang dibuat secara terbuka boleh mendatangkan kesan baik dan juga sebaliknya.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata peruntukan undang-undang yang diamalkan dalam negeri ini adalah berasingan daripada peruntukan parlimen mahupun undang-undang yang diamalkan di semua negara Komanwel.

Oleh kerana itu, katanya beliau telah memutuskan bahawa proses pendengaran PAC itu boleh dibuat sama ada secara terbuka mahupun tertutup dan ia bergantung kepada budi bicara jawatankuasa badan tersebut.

Beliau berkata demikian berhubung tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang membantah keputusan jawatankuasa PAC kerana mengadakan sesi pendengaran berkaitan isu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) secara awam, pada November lalu.

“Proses pendengaran ataupun perbicaraan secara terbuka akan membolehkan rakyat melihat proses tersebut dijalankan secara telus.

“Namun, pada masa sama seperti yang dikatakan Zambry proses pendengaran secara awam juga boleh menimbulkan trial by media ataupun perbicaraan melalui media.

“Kebiasaan perkara yang diceritakan dalam media ini agak berbentuk sensasi dan mengambil perkara yang mampu menarik perhatian pembaca sahaja. Dan ini ada keburukannya.

“Untuk perbicaraan atau pendengaran ini, jika rakyat hanya mendapat gambaran dalam bentuk pemberitaan sensasi, ia tidak adil kepada mereka yang dibicarakan atau proses pendengaran itu sendiri,” katanya.

Walau bagaimanapun ujarnya, apabila proses tersebut selesai, kertas hasil pendengaran itu akan dibentangkan dalam sidang DUN untuk menentukan sebarang keputusan atau ketetapan lanjut yang perlu diambil.

Jelasnya, hanya DUN yang berkuasa untuk menentukan sebarang keputusan terhadap hasil pendengaran PAC manakala jawatankuasa tersebut pula hanya bertindak untuk menyiasat dan mengadakan pendengaran.

“Jika dibuat secara tertutup mungkin rakyat akan mendakwa berlakunya proses siasatan yang tidak adil dan sebagainya namun, akhirnya hasil laporan itu nanti tetap akan dikemukakan dalam sidang DUN yang mana semua pihak akan dimaklumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pengumuman Persidangan DUN Perak yang dijadualkan berlangsung pada 16 April, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Selain itu, Koo Ham berkata beliau difahamkan hasil laporan PAC berkenaan kes MB Inc itu tidak akan dibentangkan pada persidangan kali ini sebaliknya ia akan dibentangkan pada Sidang DUN pada sesi Julai.

Pada perkembangan sama, beliau berkata beberapa cadangan terhadap pindaan dan penambahbaikkan kepada perintah tetap DUN Perak akan diusulkan dalam persidangan kali ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");