Sukan Hari Ini

Ronaldo Ledak Gol Ke-600

ROME: Cristiano Ronaldo meledak gol ke-600 dalam karier kelabnya ketika juara Itali, Juventus diikat 1-1 di laman Inter Milan untuk aksi Serie A, pagi tadi.

Minggu lalu, kelab Turin itu melengkapkan gelaran liga kelapan berturut-turut namun ketinggalan pada awal saingan pagi tadi selepas pemain tengah Inter, Radja Nainggolan meledak jaringan pembukaan.

Namun, pemain Portugal itu membalas jaringan berkenaan pada babak kedua yang juga gol ke-20 dirinya bagi musim ini, ketinggalan dua jaringan di belakang pendahulu jaringan terbanyak musim ini, Fabio Fabio Quagliarella dari Sampdoria.

“Saya mempunyai Cristiano Ronaldo dan saya gembira,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

“Mempunyai seorang pemain sepertinya adalah sangat penting kerana selepas satu kesilapan, dia sangat marah dan meneruskan permainan dengan corak berbeza.”

Inter kekal di tempat ketiga dengan 62 mata, empat mata di depan AS Roma manakala Juventus – yang tercicir mata hanya buat kali keenam dalam 34 perlawanan musim ini – berada di puncak liga dengan 88 mata.

“Pada babak pertama, kami mengalami situasi bola mati, kami mungkin ketinggalan 2-0 di belakang tetapi selepas itu, kami berdepan babak kedua yang bagus,” kata Allegri.

“Inter adalah sebuah pasukan yang kuat, berjuang untuk berada dalam Liga Juara-Juara. Bukan mudah, kami ketinggalan. Kita harus berterima kasih kepada pemain, kerana menamatkan perlawanan di kedudukan yang baik.”

Perlawanan yang dikenali sebagai ‘Derby d’Italia’ ini adalah salah satu aksi paling sengit di Itali.

Penyokong tuan rumah bermain psikologi dengan menyediakan sepanduk yang memaparkan trofi Liga Juara-Juara selain bertulis ‘Perlawanan Tamat’ – merujuk kepada penyingkiran Juventus di suku akhir di tangan Ajax Amsterdam, April lalu.

Bagaimanapun, kegembiraan tuan rumah hanya sementara apabila Ronaldo menyamakan kedudukan pada minit ke-62 yang juga jaringan ke-600 buat pemain berkenaan dalam karier kelabnya.

Berdasarkan rekod, 450 gol dihasilkan Ronaldo adalah ketika bersama Real Madrid, 118 di Manchester United, 27 di Juventus dan lima di Sporting Lisbon.

Pemain kebangsaan Portugal itu kini mendahului pencabarnya Lionel Messi yang menjaringkan gol ke-598 bersama Barcelona ketika membantu pasukan meraih gelaran La Liga dengan kemenangan 1-0 ke atas Levante. – Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");