Perak Hari Ini

Seru Pihak Majlis Daerah Beri Rumah Percuma Kepada Miskin Tegar – Exco

IPOH: Kerajaan Perak menzahirkan rasa prihatin dan mengambil berat akan nasib golongan miskin tegar khususnya mereka yang berhasrat ingin memiliki rumah sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong berkata menerusi Penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak 2019 pembangunan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) akan dilaksanakan dengan cara baharu.

Katanya menerusi inisiatif yang akan dilaksanakan itu, pihak majlis daerah akan diseru agar dapat memberikan rumah secara percuma kepada golongan miskin tegar.

“Kerajaan negeri sedar yang golongan miskin tegar ini, walaupun rumah kos rendah itu berada di bawah harga RM70,000 namun, mereka tetap tidak mampu untuk memilikinya.

“Saya sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, kita akan melancarkan pembangunan RPT secara baharu.

“Setelah dasar itu dilaksanakan, maka peserta-peserta yang jika kita dapati memang mereka berada dalam kategori golongan miskin tegar, saya menyeru agar pihak majlis daerah dapat memberikan rumah secara percuma kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (PAS- Gunung Semanggol) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.

Menjawab soalan tambahan daripada Terence Naidu (PH- Pasir Bedamar), Paul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh berkata kerajaan negeri sedang giat berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan projek Program Perumahan Rakyat (PPR).

Dalam pada itu beliau juga berharap agar projek PPR Kampung Chain yang terletak di Lenggong dan projek PPR Bagan Datuk dapat diteruskan KPKT.

Pada masa sama ujar Paul, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sedang membangunkan 28 unit rumah kos rendah di bawah harga RM70,000 di Kampung Dato Nazri serta 109 unit rumah kos sederhana yang berharga bawah RM90,000 ke bawah di Kampung Changkat Jong.

“Berdasaran pemantauan dan maklumat daripada Jabatan Perumahan Negara, dari tahun 2013 sehingga 2017, hanya 769 unit rumah kos rendah atau 1.24 peratus, daripada jumlah 61,658 unit keseluruhan yang dibina pihak pemaju perumahan swasta di Perak.

“Melalui Penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri ini diharap agar ia mampu meningkatkan kadar peratusan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana untuk golongan B40 dan M40,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");