Panasnya Hari Ini

SPR Ingatkan Calon, Parti Patuhi Undang-undang Berkempen

KOTA KINABALU: Aktiviti kempen seperti jamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah sama ada dalam bentuk barangan atau wang, untuk secara rasuah mempengaruhi pengundi adalah kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Memetik laporan BH Online, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata sebarang tindakan atau pernyataan mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan haknya secara bebas juga adalah satu kesalahan mengikut akta sama.

Justeru, beliau berkata, pihak terbabit dalam aktiviti kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan diingatkan supaya mematuhi semua undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen bermula selepas perisytiharan calon, esok hingga jam 11.59 malam 10 Mei depan.

“SPR juga ingin mengingatkan calon atau parti diwakili calon agar tidak menyalahgunakan aset kerajaan atau kuasa kerajaan untuk meraih undi.

“Calon dan pihak terbabit dalam aktiviti kempen hendaklah berkempen secara berhemah dan mengikut etika kempen yang menjamin keharmonian masyarakat.

“Segala arahan pihak berkuasa, terutama daripada SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis, hendaklah sentiasa dipatuhi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Secara khusus, antara kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 ialah tindakan atau pernyataan bertujuan atau cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara kaum.

Selain itu, tindakan atau pernyataan yang mengancam menggunakan kekerasan, keganasan atau halangan terhadap pengundi, dan tindakan atau pernyataan yang mengancam mengenakan apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan atau kerohanian terhadap pengundi.

Seterusnya, tindakan atau pernyataan yang mendorong mana-mana pengundi supaya mempercayai dia atau mana-mana orang akan menjadi seorang dimurkai Tuhan atau dicela kerohaniannya.

Azhar berkata, mana-mana pihak ada maklumat atau keterangan mengenai pelanggaran undang-undang dalam aktiviti kempen, boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

Beliau berkata, bagi perbuatan membabitkan amalan rasuah, laporan perlu dibuat kepada SPRM, manakala polis bagi kesalahan lain mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya atau Kanun Keseksaan.

“Semua pihak diingatkan bahawa sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi, termasuk melalui saluran media sosial. Semua parti dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggarakan pejabat atau barung pada hari mengundi.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya pada PRK ini bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");