Berita Hari Ini

Suhakam Mahu Laporan Tahunan Dibahaskan Di Parlimen

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini mahu kerajaan membahaskan Laporan Tahunan Suhakam 2018 dalam sidang Parlimen pada Julai sebagai sebahagian daripada pembaharuan Suhakam.

Pemangku Pengerusinya, Jerald Joseph berkata menerusi perbahasan itu, masalah hak asasi manusia dapat ditangani secara efektif.

“Laporan kami tidak pernah dibahaskan sebelum ini dan kami berharap ia dapat dibahaskan. Inilah kebertanggungjawapan kami di Parlimen,” katanya selepas pelancaran Laporan Tahunan Suhakam 2018 di sini, lapor Bernama.

Joseph berkata Suhakam mahu Menteri yang bertanggungjawab mengenai undang-undang, V.K. Liew membangkitkan usul bagi laporan itu dibahaskan selepas ia dibentangkan pada 11 April, hari terakhir sidang Parlimen yang pertama.

Manifesto Pakatan Harapan telah menyebutkan bahawa laporan tahunan Suhakam akan dibahaskan di Parlimen supaya cadangan yang diusulkan mendapat perhatian yang sesuai.

Joseph berkata laporan itu harus dibahaskan kerana mengikut Akta Suhakam, suruhanjaya itu bertanggungjawab kepada Parlimen. Laporan Suhakam telah dibentangkan di Parlimen sejak 2000 tetapi tidak pernah dibincangkan.

“Ini adalah untuk Anggota Parlimen kita mengambil bahagian dalam isu berkaitan hak asasi manusia. Kami bersedia untuk menyediakan apa jua jawapan yang diperlukan Liew bagi perbahasan ini,” katanya.

Sementara itu, Joseph ketika membentangkan laporan tahunan itu mendedahkan Suhakam menerima 1, 180 aduan pada 2018, peningkatan hampir 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata 558 aduan itu datang dari Sabah mengenai orang tanpa kerakyatan dan Suhakam telah membawa perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

“Antara aduan yang diterima adalah 381 mengenai hak kewarganegaraan, 35 hak untuk memiliki harta dan 16 hak pekerjaan dan hak pekerja asing,” katanya.

Laporan itu juga menyatakan terdapat kira-kira 2,599 kanak-kanak tanpa warganegara di Malaysia.

Joseph berkata Suhakam berminat untuk mencari penyelesaian mengenai perkara ini dengan memanggil mesyuarat peringkat tinggi dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen kerana tanpa dokumen yang betul, mereka akan dinafikan hak untuk mengakses sekolah dan pendidikan, serta memberi kesan yang ketara ke atas kehidupan mereka.

Aduan lain yang diterima di Malaysia barat adalah penangkapan, penahanan dan dalam buangan (109), hak untuk taraf hidup yang mencukupi (54) serta kebebasan dan keselamatan oknum (34).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");