Berita Hari Ini

‘Sultan Melaka’ Kekal Dilepaskan, Dibebaskan

MELAKA: Mahkamah Tinggi Melaka di Ayer Keroh, hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Melaka tahun lalu apabila melepas dan membebaskan ahli perniagaan, Noor Jan Tuah, 62, terhadap empat tuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka, lima tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Noor Jan yang menggunakan gelaran ‘Sultan Melaka’ sekali lagi hadir ke Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh selepas pihak pendakwaan merayu ke Mahkamah Tinggi mengenai keputusan dibuat Mahkamah Sesyen pada Julai tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin pada akhir penghakimannya hari ini berkata, pihak pendakwaan diwakili tiga Timbalan Pendakwa Raya, Badius Zaman Ahmad, Nabilalif Mohd Rosli dan Mazuin Hashim gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Noor Jan, malah keempat-empat saksi ditampilkan pihak pendakwa menolak dakwaan mereka ditipu.

“Selepas mahkamah meneliti keterangan direkodkan dalam rekod rayuan perayu (Timbalan Pendakwa Raya), didapati bahawa Hakim Bicara (Mahkamah Sesyen) telah membuat satu keputusan dan dapatan faktanya tepat dan selamat apabila memutuskan perayu gagal mewujudkan prima facie.

“Saksi dibawa pihak pendakwaan mengakui mereka bukan mangsa tipu ekoran penyamaran responden (Noor Jan). Maka setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak dan alasan penghakiman hakim bicara, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan hakim bicara dan perintah itu kekal,” katanya pada akhir penghakimannya.

Sepanjang perbicaraan, Noor Jan diwakili peguam bela Datuk Shaharudin Ali manakala pihak pendakwaan memanggil seramai 16 saksi dan empat mangsa.

Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Sesyen Melaka melepas dan membebaskan Noor Jan daripada empat pertuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka.

Keputusan itu dibuat Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki terbabit.

Noor Jan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan menyamar sebagai Sultan Melaka.

Noor Jan didakwa melakukan kesalahan itu pada Majlis Istiadat di A’Famosa Resort Melaka, Alor Gajah, pada 10 malam 28 Disember 2013 lapor HMetro.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");